Skip to main content

Bisnes

Malaysia Airlines sambung semula penerbangan terhad ke Doha mulai 2 Julai

SEPANG, 2 Mac -- Suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA T1) kekal stabil dan terkawal, dengan penumpang meneruskan perjalanan seperti biasa susulan konflik di Timur Tengah.  Tinjauan Bernama di KLIA Terminal 1 setakat 12 tengah hari tadi mendapati majoriti penerbangan adalah ke beberapa destinasi di Asia, antaranya Singapura; Ho Chi Minh City, Da Nang dan Hanoi (Vietnam); Denpasar dan Jakarta (Indonesia); Shenzhen, Chongqing dan Guangzhou (China); serta Nepal.  --fotoBERNAMA
Perkhidmatan ke Doha sebelum ini digantung bermula 28 Feb 2026 susulan penutupan ruang udara yang menjejaskan rantau berkenaan. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines akan menyambung semula perkhidmatan penerbangan terhad ke Doha (DOH) mulai 2 Julai 2026, susulan pembukaan semula ruang udara Qatar kepada syarikat penerbangan antarabangsa serta pemulihan berperingkat operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad (HIA), menurut Malaysia Aviation Group Bhd (MAG).

Kumpulan itu berkata penyambungan semula operasi berkenaan susulan pemakluman Notis kepada Juruterbang (NOTAM) oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Qatar (QCAA) bagi kesiapsiagaan operasi, melibatkan penyambungan semula perkhidmatan penerbangan antarabangsa secara berperingkat melalui koridor penerbangan yang ditetapkan dan diselaraskan oleh pihak berkuasa tersebut.

Advertisement

“Operasi Malaysia Airlines pada peringkat awal dihadkan kepada satu penerbangan harian (MH160/161). Baki kekerapan (MH164/165 dan MH168/169) akan terus digantung sehingga 24 Okt 2026, tertakluk kepada semakan selanjutnya,” kata MAG dalam satu kenyataan hari ini.

Perkhidmatan ke Doha sebelum ini digantung bermula 28 Feb 2026 susulan penutupan ruang udara yang menjejaskan rantau berkenaan.

MAG berkata syarikat penerbangan itu akan terus memantau rapat keadaan semasa melalui penilaian risiko berterusan serta NOTAM berkaitan sebelum operasi disambung semula sepenuhnya.

Sementara itu, cabang haji dan umrah MAG, Amal by Malaysia Airlines, meneruskan operasi penerbangan ke Jeddah (JED) dan Madinah (MED) seperti dijadualkan bagi memenuhi keperluan musim haji 2026 dengan jumlah keseluruhan 110 penerbangan dalam dua fasa, melibatkan 15,620 jemaah.

-- BERNAMA

Must Watch Video