Skip to main content

Dunia

Rusia tidak akan keluar OPEC+ di tengah-tengah 'krisis meruncing' pasaran minyak global - Novak

61750247630_AlexanderNovakRus.jpg
Alexander Novak turut memaklumkan bahawa Rusia tidak membincangkan isu penarikan diri UAE itu dengan Arab Saudi. - Gambar fail

MINERALNYE VODY: Rusia, selaku antara pengeluar minyak utama dunia, tidak bercadang untuk meninggalkan OPEC+, kata Timbalan Perdana Menteri Rusia Alexander Novak pada Khamis, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Kenyataan itu menyusul selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Selasa mengumumkan keputusannya untuk menarik diri daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan OPEC+ berkuat kuasa 1 Mei ini.

Advertisement

Kementerian Luar UAE menyifatkan langkah itu sebagai pilihan berdaulat dan strategik berdasarkan visi ekonomi jangka panjangnya, sambil menambah bahawa ia akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan  bagi menyokong pasaran tenaga global pasca penarikan diri daripada organisasi itu.

"Sebagai negara pengeluar minyak terbesar, kami tidak akan menarik diri daripada kerjasama ini," kata Novak kepada pemberita di luar acara Forum Pelaburan Caucasian, sambil menegaskan bahawa Rusia menganggap mekanisme itu  kekal efektif dan bermanfaat kepada pasaran minyak.

Beliau turut memaklumkan bahawa Rusia tidak membincangkan isu penarikan diri UAE itu dengan Arab Saudi.

Pada acara yang sama, Novak memberi amaran bahawa industri minyak global kini berdepan krisis yang semakin meruncing, dengan sejumlah besar minyak gagal memasuki pasaran buat masa ini.

"Kami melihat krisis paling meruncing dalam industri ini sedang berterusan, dan jumlah minyak yang amat besar tidak memasuki pasaran hari ini," katanya.

Beliau berkata permintaan minyak global kini jauh lebih tinggi berbanding bekalan, dan menyifatkan ketidakseimbangan itu mempunyai kaitan dengan perkembangan yang berlaku di Asia Barat.

Novak seterusnya menegaskan bahawa perang harga dalam pasaran minyak tidak akan berlaku susulan tindakan UAE itu, memandangkan keadaan semasa yang sedang berdepan masalah kekurangan bahan api.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

Must Watch Video