KUALA LUMPUR: Kegagalan meratifikasi Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan menyebabkan Malaysia ketinggalan dalam menikmati faedah dan layanan keutamaan seperti yang terkandung dalam perjanjian itu.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Malaysia memberi komitmen untuk melengkapkan proses ratifikasi pada pertengahan Disember tahun ini.

"Antara manfaat yang dapat dinikmati sekiranya Malaysia meratifikasi perjanjian ini adalah pengurangan tarif ke atas barangan eksport, akses pasaran perdagangan perkhidmatan, pergerakan pekerja profesional dan berkemahiran tinggi serta peluang meningkatkan aktiviti pelaburan di kalangan negara-negara anggota RCEP," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) menyatakan status terkini RCEP dan apakah rancangan bagi meningkatkan kerjasama antara negara-negara perjanjian RCEP.

Menjawab soalan tersebut, Mohamed Azmin berkata antara kerjasama lain yang dirancang ketika ini termasuklah peningkatan kapasiti bagi pelaksanaan penurunan atau penghapusan kadar tarif import, pengurangan halangan-halangan berbentuk bukan tarif seperti melalui penerimaan pakai standard dan piawaian industri setiap negara.

Justeru kata beliau, usaha-usaha berterusan kerajaan dalam meningkatkan kerjasama dengan negara-negara RCEP adalah seiring dengan matlamat utama perjanjian terutamanya untuk mengukuhkan aktiviti rantaian nilai serantau disamping menjadikannya lebih mesra pengguna serta lebih mudah digunakan.

"Selain daripada pengurangan tarif ke atas barangan eksport, negara anggota RCEP juga komited untuk mengurangkan halangan-halangan bukan tarif atau dengan izin, non-tariff measures (NTMs) melalui penyelarasan tatacara import dan eksport bagi memudah cara pergerakan barangan rentas sempadan, termasuklah menyesuai serta menerimapakai standard atau piawaian industri setiap negara-negara anggota," katanya.