KUALA LUMPUR: Malaysia kini berdepan tekanan baharu terhadap sektor makanan dan pertanian apabila laporan terbaharu Fitch Solutions memberi amaran bahawa konflik berpanjangan antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran dijangka terus melonjakkan harga baja global dan menjejaskan kadar penggunaan baja bagi tanaman bijirin di Asia Tenggara bagi musim 2026/27.
Menurut analisis tersebut, harga baja yang kekal tinggi, ditambah ketidaktentuan rantaian bekalan akibat konflik, meningkatkan risiko berlakunya pengurangan kadar penggunaan baja ketika tempoh kritikal penanaman semakin hampir.
Advertisement
Keadaan ini berpotensi menekan hasil pengeluaran bijirin di seluruh rantau, sekali gus membawa implikasi kepada keselamatan makanan dan kos sara hidup.
Fitch Solutions menegaskan, Malaysia, Indonesia dan Vietnam merupakan tiga negara Asia Tenggara yang paling terlindung daripada kejutan bekalan baja nitrogen.
Ini berikutan kapasiti pengeluaran domestik yang kukuh serta akses stabil kepada gas asli sebagai bahan mentah utama.
Malaysia khususnya dijangka mempunyai perlindungan semula jadi melalui infrastruktur pengeluaran baja nitrogen yang besar.
Kapasiti ini dapat membantu mengimbangi kesan kenaikan harga global serta memastikan kadar aplikasi baja bagi tanaman utama tidak terlalu terjejas.
Namun begitu, Fitch memberi amaran bahawa kelebihan ini bergantung penuh kepada keputusan dasar kerajaan khususnya keutamaan untuk mengekalkan bekalan bagi pasaran domestik.
Dalam keadaan harga antarabangsa yang turun naik, wujud risiko ketirisan bekalan sekiranya pengeluar tempatan memilih untuk mengejar keuntungan eksport berbanding memenuhi keperluan dalam negara.
Sejak konflik memuncak pada 28 Februari lalu, harga urea global melonjak lebih 40 peratus, mencecah AS$660 satu tan.
Lonjakan ini mencerminkan jangkaan terhadap keadaan pasaran yang lebih ketat akibat gangguan eksport dari rantau negara teluk (GCC), yang menyumbang sekitar 20 peratus eksport baja nitrogen dunia.
Malaysia yang sedang bersiap menghadapi musim penanaman bijirin, kini berdepan risiko situasi di mana harga baja nitrogen yang terlalu tinggi mendorong petani mengurangkan kadar penggunaan baja — sekali gus mengurangkan hasil tanaman 2026/27.
Walaupun Malaysia agak selamat dari segi baja nitrogen, situasinya berbeza bagi baja fosfat, di mana Malaysia bergantung hampir sepenuhnya kepada pengimport luar, termasuk Mesir.
Fitch Solutions menjelaskan, seluruh Asia Tenggara, termasuk Malaysia, lebih terdedah kepada gangguan rantaian bekalan fosfat kerana pergantungan kepada sulfur dan input lain yang diimport dari Asia Barat dan China, dua wilayah yang sedang menghadapi tekanan geopolitik dan sekatan eksport.
Selain cabaran baja, Malaysia turut dijangka berdepan dengan risiko cuaca melampau susulan ramalan El Niño oleh Climate Prediction Center yang menjangkakan lebih 60 peratus kebarangkalian fenomena itu bermula Jun, dengan 48 peratus berpotensi pada intensiti sederhana menjelang Ogos.
Keadaan ini secara langsung boleh menjejaskan hasil tanaman bijirin, beras dan jagung, terutama jika digandingkan dengan pengurangan kadar penggunaan baja akibat harga terlalu tinggi.