KUALA LUMPUR: Pengumuman pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan lewat petang Jumaat menjadi pemangkin yang melonjakkan dagangan berakhir lebih positif.

Ahli Parlimen Bera itu akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri pada 21 Ogos (Sabtu) pukul 2.30 petang di Istana Negara.

Ini menyaksikan indeks utama FBM KLCI ditutup 3.08 mata atau 0.2 peratus lebih tinggi kepada 1,518.03 mata dengan 3.63 bilion saham diniagakan bernilai RM1.89 bilion.

Keseluruhan pasaran juga positif dengan kaunter untung mengatasi rugi pada 487 berbanding 418 manakala 473 kaunter tidak berubah dan 829 tidak diniagakan.

Mengulas mengenai pasaran hari ini, Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata, bursa tempatan menongkah arus berbanding pasaran serantau lain seperti Hong Kong, Jepun, Korea Selatan dan Filipina yang mencatatkan kerugian.

"Ini disebabkan pelabur menarik nafas lega apabila Istana Negara mengumumkan pelantikan Perdana Menteri beberapa minit sebelum pasaran ditutup," jelasnya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Sime Darby Plantation Bhd. ditutup 3.4 peratus atau 13 sen lebih tinggi kepada RM3.92.

Selain itu, turut mendorong indeks utama lebih tinggi termasuklah kaunter berkaitan telekomunikasi seperti Maxis Bhd. dan Digi.com Bhd. masing-masing menokok 2.3 dan 1.4 peratus.

Kaunter aktif menyaksikan saham KNM Group Bhd. diniagakan paling rancak ditutup 1.5 sen lebih tinggi kepada 23 sen.

Turut rancak diniagakan termasuklah Advance Synergy Bhd., Kanger International Bhd., Destini Bhd. dan Malayan United Industries Bhd.

Saham Formosa Prosonic Industries Bhd. yang ditutup pada RM3.24 pula mendahului kaunter untung setelah menokok 43 sen.

Ini diikuti saham Carlsberg Brewery Malaysia Bhd. menokok 36 sen kepada RM21.90 dan Allianz Malaysia Bhd. naik 32 sen kepada RM12.82.

Sebaliknya, Genetech Technology Bhd. mendahului kaunter rugi susut RM1.52 kepada RM23.66 diikuti Advance Information Marketing Bhd. (AIM) susut 30 sen kepada 50.5 sen.

Pada minggu hadapan, Adam berkata, pelabur akan lebih tenang memandangkan Perdana Menteri sudah diketahui dan pasaran akan dipengaruhi dengan jangkitan harian COVID-19 yang tinggi.

"Oleh itu, KLCI dijangka diniagakan dalam julat antara 1,510 hingga 1,530 mata pada minggu hadapan," katanya.

Bagi pasaran kewangan pula, petang ini ringgit ditutup pada RM4.2370/2400 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), lebih rendah daripada penutupan semalam, RM4.2355/2400 disebabkan kelemahan harga minyak mentah global.

Menurut beliau, dolar AS turut diniagakan pada paras 9 bulan tertinggi, mencerminkan penguncupan aset Rizab Persekutuan AS (Fed) menjelang hujung tahun ini.

"Ringgit dijangka menyaksikan pengukuhan minggu hadapan memandangkan pasaran kembali tenang dengan pelantikan Perdana Menteri tetapi kenaikannya terhad ekoran persidangan Jackson Hole di AS.

"Sekiranya wujud gambaran pengurangan pembelian aset oleh Fed lebih awal berbanding jangkaan ketika simposium ini, dolar AS mungkin akan lebih mengukuh dan memberi tekanan kepada ringgit," katanya.

Beliau menjangkakan ringgit akan berlegar antara RM4.23 hingga RM4.24 berbanding dolar AS pada minggu hadapan.


*Berita asal di DagangNews.com