ALOR SETAR: Seorang lelaki ditemukan lemas manakala rakannya terselamat selepas bot yang dinaiki mereka terbalik ketika sedang memancing di Sungai Kubang Rotan di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar Timbalan Penguasa Bomba I Ismail Mohd Zain berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.29 petang sebelum tiba di lokasi kira-kira 15 minit kemudian.
Advertisement
“Terdapat dua mangsa yang telah terjatuh ke dalam sungai selepas bot yang dinaiki mereka terbalik ketika sedang menjalankan aktiviti memancing.
“Mangsa berusia 24 tahun ditemukan lemas dan terapung 10 meter dari lokasi mereka terjatuh manakala rakannya berusia 26 tahun berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata mangsa dibawa naik ke darat dan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi telah mengesahkan kematian mangsa.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi yang disertai 13 anggota dari BBP Alor Setar itu tamat sepenuhnya pada 6.25 petang,” katanya.
-- BERNAMA