KUALA LUMPUR: Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan pilihan dalam kalangan pelabur Cina yang membabitkan bidang ekonomi digital walaupun berlaku kegawatan makroekonomi global, kata Ketua Pegawai Pelaburan Digital, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Raymond Siva.

Beliau berkata beberapa syarikat terkemuka dari China yang mendapat anugerah Status Digital Malaysia baru-baru ini ialah Bytedance, Chin Data, ChinaSoft International dan GDS Data Centers.

Raymond berkata demikan pada seminar 'ASEAN Media's View on Digital China Media Tour 2022: A New Chapter in Smart City' yang diadakan dalam talian pada Rabu.

Pada Julai 2022, kerajaan melancarkan inisiatif MD, yang akan menggantikan Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia untuk memacu transformasi digital dalam bidang tumpuan yang menunjukkan potensi pertumbuhan tinggi, peluang dan kepentingan bagi meningkatkan ekonomi digital negara.

Kerajaan Malaysia, melalui MDEC, akan menganugerahkan Status Digital Malaysia kepada syarikat yang layak untuk menyertai dan menjalankan mana-mana aktiviti Malaysia Digital. Syarikat Status Digital Malaysia akan layak mendapat insentif, hak dan keistimewaan daripada kerajaan, tertakluk kepada kelulusan, pematuhan syarat, undang-undang dan peraturan yang terpakai.

Raymond berkata dalam tempoh dua bulan sahaja sejak pelancarannya, MD telah berjaya membawa masuk pelaburan digital langsung asing bernilai RM42 bilion dan RM4.76 bilion adalah daripada pengembangan pelaburan digital langsung domestik (DDI), menjana 6,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi.

Sementara itu, Setiausaha Agung ASEAN China-China Centre Shi Zhongjun berkata sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar dunia dan dengan gabungan populasi lebih dua bilion, ASEAN dan China 'sangat' saling melengkapi dalam ekonomi digital.

Pelan Induk Digital ASEAN 2025 katanya, menetapkan visi untuk mengubah ASEAN sebagai komuniti digital dan blok ekonomi terkemuka manakala China berada di barisan hadapan pembangunan ekonomi digital dengan infrastruktur digital terkemuka dunia.

"Mempromosikan perkongsian ekonomi digital ASEAN-China akan membantu kedua-dua pihak mengatasi kesukaran ekonomi semasa yang disebabkan oleh COVID-19, memperoleh momentum pertumbuhan yang lebih besar dan mencapai pembangunan serta kemakmuran bersama," katanya.

ASEAN Media's View on Digital China Media Tour 2022, dianjurkan oleh China Daily dan ASEAN-China Center serta anjuran bersama China Daily Website dan Cyberspace Administration of Shenzhen, merupakan platform untuk mengetengahkan pandangan dan cadangan baharu kepada kerjasama digital ASEAN dan China.

-- BERNAMA