Skip to main content

Malaysia

Pengakap Malaysia nafi terlibat kes rasuah penganugerahan pingat di Perlis pada 2024

Pengakap Malaysia
Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) hari ini menafikan sebarang penglibatan dalam kes rasuah berkaitan penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat di Perlis.

KUALA LUMPUR: Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) hari ini menafikan sebarang penglibatan dalam kes rasuah berkaitan penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat di Perlis. 

PPM dalam satu kenyataan menegaskan pihaknya langsung tidak mempunyai kaitan dengan penahanan seorang penjawat awam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan menerima rasuah bagi urusan penganugerahan pingat sebuah pertubuhan beruniform sukarela pada  2024.

Advertisement

“Sehubungan itu, kami menegaskan istiadat penganugerahan bintang dan pingat yang diadakan di Perlis pada 6 Mac, 2024, adalah tanpa pengetahuan, kebenaran atau kelulusan rasmi pihak kami.

“PPM tidak pernah mengiktiraf, meluluskan atau terlibat dalam sebarang penganugerahan tersebut dan ia tidak tersenarai dalam mana-mana rekod rasmi pingat PPM,” menurut kenyataan itu.

PPM turut menjelaskan bahawa tiada sebarang senarai penerima pernah diluluskan dan organisasi itu sama sekali tidak pernah mengeluarkan bintang atau darjah yang menggunakan gelaran ‘Dato’ Setia Pengakap’.

“Selain itu, PPM tidak pernah memberi mandat atau kuasa kepada mana-mana pihak, termasuk mana-mana entiti pada peringkat negeri untuk menganugerahkan sebarang bintang atau pingat bagi pihak organisasi.

“Sebarang penggunaan nama, lambang atau kaitan dengan PPM bagi tujuan penganugerahan tanpa kelulusan rasmi adalah satu penyalahgunaan yang serius dan boleh menjejaskan integriti organisasi,” menurut kenyataan itu.

PPM turut memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati terlibat dalam penganugerahan tidak sah tersebut, termasuk mereka yang memberi, menerima atau mempromosikan anugerah berkenaan selaras dengan Seksyen 13 Akta Persekutuan Pengakap-Pengakap Malaysia (Pemerbadanan) 1968, yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14 akta sama.

“PPM menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan bebas serta akan memberikan kerjasama penuh sekiranya diperlukan.

“Kami kekal komited untuk mempertahankan integriti, kredibiliti dan nama baik organisasi serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku atau penyalahgunaan nama Pengakap Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Hari ini, seorang penjawat awam di Perlis direman lima hari bagi membantu siasatan kes menerima rasuah kira-kira RM200,000 berkaitan urusan mendapatkan pelbagai darjah kebesaran, pingat dan bintang sebuah pertubuhan beruniform sukarela pada 2024.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video