Malaysia kini berhadapan tiga cabaran ekonomi, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata cabaran pertama ialah kemasukan dana ke dalam ekonomi pesat membangun yang berkemungkinan tidak memberi manfaat kepada pasaran.

"Kita perlu jelas," katanya.

Beliau berkata cabaran kedua ialah pergantungan ke atas eksport komoditi, namun menerangkan usaha yang sudah dilakukan untuk mempelbagaikan barisan produk eksport negara.

"Cabaran ketiga ialah faktor luaran yang menjejaskan keseluruhan dunia. Kini, ekonomi China perlahan. Kita telah melindung nilai dengan mempelbagaikan dagangan serta menangani kerugian.

"Pasaran eksport utama ialah Singapura (menyumbang 13.8 peratus), diikuti China (12.9 peratus), Jepun (9.8 peratus) dan US (9.3 peratus," kata Wahid, yang berada di sini sebagai sebahagian anggota delegasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Wahid memberitahu bahawa walaupun berhadapan cabaran, asas ekonomi Malaysia tetap kukuh.

"Saya yakin terhadap model baharu ekonomi yang bersandarkan tiga tonggak, pendapatan tinggi, terangkum dan kemampanan. Ia juga dirangka bagi membawa kami ke status negara maju," katanya.

Wahid berkata matlamat negara berpendapatan tinggi boleh dicapai menerusi kadar pertumbuhan enam peratus bagi mencecah sasaran pendapatan US$15,000 per kapita menjelang 2020, dan menambah Malaysia sudah pun melepasi paras US$10,000.

Beliau juga menekankan mengenai pentingnya pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi dan berkata menerusi Rancangan Malaysia Ke-10, pertumbuhan dari 2011 hingga 2015 adalah sebanyak 5.3 peratus.

"Faktor pertumbuhan kita sejak tahun-tahun kebelakangan ini ialah kita sudah mempelbagaikan struktur ekonomi Malaysia dan mengurangkan pergantungan ke atas komoditi.

"Hasilnya sektor komoditi dan perlombongan kini hanya menyumbang 18 peratus kepada Keluaran Negara Kasar negara. Kita merancang mengurangkan lagi peratusan ini kepada 15 peratus pada 2020.

"Ekonomi kita hari ini sebahagian besarnya dipacu oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan, dengan kedua-duanya menyumbang dua pertiga kepada KDNK," kata Wahid.

Tulang belakang kepada sektor pembuatan Malaysia ialah industri elektrik dan elektronik.

Sektor perkhidmatan antara lain meliputi perkhidmatan kewangan dan perniagaan, pengangkutan dan komunikasi, gastronomi.

Data terkini Bank Dunia menunjukkan pendapatan per kapita berasaskan KDNK di Malaysia ialah US$10,830 pada 2014, buat pertama kalinya melepasi purata dunia pada US$10,804.

Mesyuarat Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) di New York yang dipengerusikan Najib baru-baru ini, mengesahkan data itu.

Namun, pendapatan per kapita ini perlu ditingkatkan pada purata US$700 setahun antara 2015 dan 2020, bagi merealisasikan sasaran US$15,000 bagi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi.

GSIAC ialah organisasi pakar yang dianggotai pakar terkenal negara dan personaliti antarabangsa dalam bidang ekonomi, perniagaan, sains dan teknologi.

Ia diamanahkan untuk membantu Malaysia mencapai sasaran pendapatan per kapita US$15,000.
Malaysia juga telah mencapai tahap mengagumkan dari segi pengurusan sumber asli secara lestari, seperti minyak dan gas.

"Malaysia diiktiraf oleh Bank Dunia sebagai sebuah negara yang berjaya dari segi memanfaatkan sumber asli dan melindungi alam sekitar. Kami tidak menggunakan sepenuhnya kapasiti sumber asli, malah melindungi peratusan yang munasabah untuk generasi akan datang," kata Wahid.

Beliau juga yakin terhadap pewujudan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) menjelang akhir tahun.

AEC akan mempunyai gabungan US$2.5 trilion KDNK dan pasaran pengguna berjumlah 600 juta dan merupakan ekonomi ketujuh terbesar di dunia.

Wahid berkata Malaysia juga menyokong Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

"TPP merupakan peluang baik untuk mewujudkan pasaran serantau yang baharu, dan bagi kita, beberapa butiran masih dirundingkan sebelum memuktamadkannya," katanya.

Mesyuarat dua hari peringkat menteri TPP diadakan di Atlanta dari 30 Sept.