Malaysia harus tentukan agenda digitalnya - MDEC

Agenda digital juga membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada sebarang gangguan ekonomi yang tidak dijangka.

Ketua Pegawai Operasi MDEC berkata walaupun minat terhadap penggunaan transformasi pendigitalan semakin meningkat di kalangan PKS tetapi sebilangannya masih bimbang dengan kos penggunaannya. | Astro Awani
Malaysia harus menentukan dan memperkasakan agenda digitalnya, kata Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Ketua Pegawai Operasi MDEC Datuk Ng Wan Peng berkata ia bukan hanya meneroka peluang bernilai US$100 bilion dalam ekonomi digital di Asia Tenggara tetapi juga untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada sebarang gangguan ekonomi yang tidak dijangka.

"Sehubungan itu, ia adalah penting untuk memastikan PKS dapat terus berkembang.

"Sekiranya PKS mencatatkan prestasi yang lemah, ekonomi kita juga akan terjejas," katanya pada pelancaran kempen 'Celcom Business - Reimagine SME for Tomorrow', pada Khamis.

Sektor PKS memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia, ia merangkumi 98.5 peratus pertubuhan perniagaan di Malaysia dan menggaji lebih daripada 66 peratus tenaga kerja.

Ng berkata walaupun minat terhadap penggunaan transformasi pendigitalan semakin meningkat di kalangan PKS tetapi sebilangannya masih bimbang dengan kos penggunaannya.

Bagaimanapun beliau menekankan bahawa kosnya adalah berpatutan dengan modal permulaan hanya beberapa ratus ringgit sahaja.

Selain kos, PKS turut meluahkan kebimbangan mengenai kekurangan infrastruktur dan pengetahuan.

Justeru, Ng menyeru syarikat-syarikat telekomunikasi untuk meningkatkan infrastruktur mereka bagi menyokong pembangunan teknologi digital negara ini.

Sektor telekomunikasi adalah industri paling penting untuk memacu proses pendigitalan, katanya.

-- BERNAMA