Malaysia dan Indonesia yang juga pengeluar minyak sawit terbesar dunia, perlu menjadi pemain aktif dalam proses penetapan piawaian mapan antarabangsa Kesatuan Eropah (EU), kata dua pegawai kanan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

Ketua Pegawai Eksekutif MPOC Datuk Dr Kalyana Sundram menerusi artikel dihasilkan bersama Pengurus Serantau (Eropah) majlis itu, Uthaya Kumar, berkata EU berhasrat menerajui usaha piawaian kemapanan antarabangsa dan kaedah pengiraan jejak alam sekitar dalam pelbagai platform dalam usaha menggalakkan peningkatan penerapan piawaian terbabit.

Malah, mereka menyifatkannya sebahagian daripada pendekatan terhadap maklumat makanan untuk pengguna sebagaimana dipaparkan dalam rancangan Suruhanjaya Eropah (EC) untuk mengetengahkan cadangan pada 2024 membabitkan rangka kerja pelabelan makanan mapan merangkumi aspek nutrisi, iklim, persekitaran dan sosial produk makanan.

Rencana bertajuk 'The EU's F2F and Biodiversity Strategies - Serious Implications for Palm Oil Ahead' turut menganalisis Strategi 'Farm To Fork' (F2F) EU dan Strategi Biodiversiti Bagi 2030 serta kemungkinan implikasi bahawa kaedah tertentu di bawah strategi terbabit yang mungkin menyentuh minyak sawit serta produk makanan mengandungi minyak berkenaan.

Untuk rekod, sejajar inisiatif Perjanjian Hijau Eropah, EC pada 20 Mei lepas telah membentangkan Strategi F2F itu yang bertujuan menjadikan keseluruhan rantaian makanan daripada pengeluaran sehingga pemakanan "lebih semula jadi dalam impaknya terhadap alam sekitar."

EU berkata menerusi strategi itu, ia berhasrat menggalakkan peralihan global ke arah sistem makanan mapan dalam badan penetapan piawaian, pelbagai forum relevan serta acara antarabangsa.

Kalyana dan Uthaya berkata EC menerusi Strategi F2F tersebut menyatakan bahawa ia akan menyokong "penguatkuasaan peraturan membabitkan maklumat yang mengelirukan."

"Penguatkuasaan peraturan sedemikian sememangnya diperlukan sebagaimana proliferasi di EU sejak bertahun-tahun lalu membabitkan kempen 'tidak mengandungi minyak sawit' dan label 'bebas minyak sawit' yang merupakan testimoni tragik," kata mereka.

Mengulas langkah F2F, mereka berpendapat apa yang lebih relevan bagi pengeluaran minyak sawit adalah cadangan rangka kerja peraturan bagi sistem makanan mapan yang disasarkan dapat diterbitkan oleh suruhanjaya itu pada akhir 2023.

"Sebagaimana nasib biobahan api, nampaknya EU sekali lagi meneruskan pendekatan secara sebelah pihak bagi mentakrifkan sistem makanan mapan dan makanan mapan," kata mereka.

Bagi 2021, EC dalam usaha merangka beberapa inisiatif, termasuk meningkatkan rangka kerja tadbir urus korporat seperti mensyaratkan industri makanan menyepadukan isu kemapanan dalam strategi korporat.

Kalyana dan Uthaya berkata sektor minyak sawit akan turut mengalu-alukan satu lagi inisiatif dijadualkan untuk tahun depan membabitkan pembangunan Kod Tatalaku EU bagi perniagaan dan amalan pemasaran yang bertanggungjawab bagi mengelak kempen yang mengelirukan seperti penggunaan dakwaan "tiada minyak sawit.

Pada 2021 juga, suruhanjaya itu berhasrat mengemukakan cadangan perundangan dan langkah lain bagi mengelak atau meminimumkan paparan produk yang dikaitkan dengan usaha pembasmian hutan atau yang menjejaskan hutan di pasaran EU serta menggalakkan import mesra hutan dan rantaian nilai.

"Sebagai contoh baik dasar EU bagi meningkatkan ketelusan rantaian bekalan, suruhanjaya itu merujuk kepada obligasi penebangan Peraturan Kayu-Kayan EU untuk operator yang menempatkan kayu-kayan dan produknya di pasaran.

"Malah bukti yang menyasarkan minyak sawit adalah Peraturan Maklumat Makanan EU yang membenarkan penyenaraian pelbagai kandungan minyak sayur dalam produk-produk," kata mereka.

Mereka juga menegaskan dalam isu pembersihan hutan dan pengurangan hutan misalnya tidak harus membabitkan pendekatan atau tindakan sebelah pihak.

"EU perlu bekerjsama dan terbabit dalam pakatan dengan negara-negara seperti Malaysia yang boleh disusuli menerusi pelbagai saluran diplomatik, komersial dan teknikal yang tersedia bagi mentakrifkan dan menggunapakai piawaian bilateral dan pelbagai hala serta penyelesaian untuk pematuhan pengeluaran perhutanan da pertanian," kata mereka.

Kalyana dan Uthaya juga menyifatkan beberapa langkah yang dicadangkan EU pada tahun-tahun mendatang susulan Strategi F2F dan Biodiversiti itu akan memberi implikasi terhadap minyak sawit.

"Justeru, sektor minyak sawit dan negara-negara pengeluarnya perlu meneliti secara terperinci pelbagai inisiatif berbeza dan turut terbabit secara libat urus dengan EU, termasuk dalam aspek rundingan akan datang.

"Sebagai negara pengeluar minyak sawit dan bergantung kepada jumlah eksport dan pendapatan demi kelangsungan kesejahteraan industri, kita tidak mampu sekadar berada di pinggir dan sebaliknya memerlukan pasukan mantap dan berpengetahuan untuk menyuarakan hak kewujudan bersama," kata mereka.

-- BERNAMA