Mahkamah putus 17 Nov rayuan Najib, anak tangguh prosiding kebankrapan

Mahkamah Tinggi menetapkan 17 Nov sebagai tarikh keputusan rayuan Najib (kiri) dan anaknya Nazifuddin (kanan) berhubung penangguhan prosiding kebankrapan berkaitan tunggakan cukai RM1.69 bilion dan RM37.6 juta. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 17 Nov ini bagi keputusan rayuan Datuk Seri Najib Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin, terhadap keputusan mahkamah sama yang menolak permohonan mereka untuk menangguhkan prosiding kebankrapan.
Ringkasan AI
- Mahkamah Tinggi menetapkan 17 Nov sebagai tarikh keputusan rayuan Datuk Seri Najib Razak dan anaknya Nazifuddin berhubung penangguhan prosiding kebankrapan berkaitan tunggakan cukai RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.
- Peguam Najib berhujah bahawa penangguhan penting agar rayuan kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan tidak menjadi sia-sia jika perintah kebankrapan dikeluarkan.
- LHDN menegaskan prosiding kebankrapan adalah sah kerana penghakiman kewangan gagal dipatuhi dan tiada alasan munasabah untuk penangguhan.
Pada 16 Okt 2023, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa kedua-dua beranak itu perlu melunaskan cukai tertunggak selepas menolak rayuan mereka untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Najib dan Nazifuddin merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus dalam kes tunggakan cukai terhadap mereka.
Penghakiman terus ialah keputusan yang dibuat mahkamah berdasarkan hujahan bertulis tanpa memanggil saksi memberi keterangan dalam perbicaraan.
Dua Mahkamah Tinggi berasingan sebelum ini membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai daripada Najib dan anaknya bagi tempoh 2011 hingga 2017.
Pada September 2021, Mahkamah Rayuan menolak rayuan mereka untuk mengetepikan penghakiman itu, sebelum Mahkamah Persekutuan pada 10 Mei 2022 memberi kebenaran kepada mereka untuk meneruskan rayuan di peringkat tertinggi.
Terdahulu, Muhammad Farhan berhujah bahawa penangguhan prosiding kebankrapan tidak akan menjejaskan kepentingan Kerajaan Malaysia sebagai pemiutang penghakiman.
Menurutnya rayuan yang difailkan Najib dan Nazifuddin kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) bagi menyemak semula penilaian cukai yang dipertikaikan akan menjadi sia-sia sekiranya prosiding kebankrapan diteruskan dan perintah kebankrapan dikeluarkan.
"Kegagalan menangguhkan prosiding kebankrapan akan menggagalkan rayuan yang masih berjalan di hadapan SCIT kerana keputusan yang memihak kepada mereka kelak tidak lagi memberi kesan praktikal," katanya.
Bagaimanapun, Norhisham berhujah bahawa prosiding kebankrapan terhadap bekas Perdana Menteri dan anaknya adalah tindakan sah mengikut undang-undang kerana mereka gagal menjelaskan hutang penghakiman.
Katanya pemiutang penghakiman iaitu LHDN berhak mengambil langkah segera untuk mendapatkan semula jumlah hutang selepas rayuan mereka ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 16 Oktober 2023.
"Dalam proses mendapatkan semula cukai, pemiutang hanya melaksanakan penghakiman kewangan yang gagal dipenuhi penghutang," katanya sambil menambah bahawa tiada kelewatan disebabkan oleh LHDN atau Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri.
"Oleh itu, tiada keadaan khas atau alasan munasabah untuk mahkamah ini membenarkan penangguhan prosiding kebankrapan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami