Malaysia menjangka aliran masuk pelaburan yang banyak bagi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pada tahun depan berikutan pembiayaan berterusan dalam pengembangan infrastruktur, latihan sektor swasta, serta sokongan penyelidikan dan pembangunan (R&D), demikian menurut Multimedia Development Corporation Bhd (MDeC).

Ketua Pegawai Operasinya, Ng Wan Peng berkata walaupun 2014 merupakan tahun yang mencabar, Malaysia berjaya mencapai pertumbuhan ekonomi dan produktiviti yang memberangsangkan.

Beliau berkata ekonomi digital Malaysia telah menunjukkan kemajuan ketara dengan sektor ICT menyumbang RM160.8 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2013 berbanding RM968.7 bilion, meningkat 38 peratus daripada 2012.

"MSC (Koridor Raya Multimedia) Malaysia mencatatkan satu lagi tahun pertumbuhan kukuh kerana terdapat prestasi yang baik dalam jualan eksport dan sumbangan KDNK secara menyeluruh," katanya dalam satu kenyataan.

Hasil meningkat tiga peratus berbanding 2012 kepada RM34.55 bilion manakala pelaburan baharu naik tiga peratus kepada RM3 bilion.

Syarikat-syarikat MSC Malaysia telah mengukuhkan jualan eksport mereka kepada RM12.41 bilion, kenaikan 7.4 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan 9.221 pekerjaan telah ditambah daripada 2012.

Ng berkata trajektori 2014 yang terus kukuh dan konsisten ini memberi petanda baik kepada MSC Malaysia.

Beliau menjangka segmen ICT yang sudah mantap akan berterusan seperti perkhidmatan perkongsian dan kandungan kreatif, serta segmen khusus baharu berkembang seperti analisis data besar dan 'Internet of Things' dalam tempoh enam tahun akan datang.

Peningkatan peruntukan kerajaan bagi jalur lebar kelajuan tinggi dalam bidang berimpak tinggi dari segi ekonomi akan menyaksikan penambahbaikan dalam produktiviti dengan lonjakan sumbangan daripada sub-sektor utama, katanya.

Beliau berkata Bajet 2015 juga akan terus memacu sektor kreatif ICT negara dengan dana baru dan pengecualian cukai yang diumumkan.

"Ia akan membolehkan kita terus berkembang sebagai hab ICT dan ekosistem yang semakin meningkat akan memastikan 2015 akan menjadi satu lagi tahun yang berjaya," katanya.

Mengenai masa hadapan, MDEC akan terus membawa syarikat-syarikat MSC Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dengan peluang pergi ke pasaran serantau dan global yang baru dengan memastikan rakyat lebih celik digital untuk meningkatkan taraf hidup mereka melalui inisiatif Digital Malaysia MDeC, katanya.

Beliau berkata pada mesyuarat Majlis Pelaksanaan Koridor Raya Multimedia Malaysia (MSC) baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan pelbagai inisiatif yang dirancang untuk tahun 2015.

Inisiatif berkenaan ialah Liberalisasi MSC Malaysia, eRezeki, Malaysia sebagai hab global untuk perkhidmatan awan dan kandungan, pewujudan kandungan Pusat Kreatif Malaysia, Malaysia sebagai hab media interaktif dan permainan, melabur dalam data analisis besar, dan Kongres Dunia mengenai IT.

"Memajukan Ekonomi Digital Malaysia adalah jalan yang mesti kita ambil dan cabaran yang perlu dilaksanakan dalam menggerakkan Malaysia ke hadapan dengan pantas ke arah mencapai aspirasi Wawasan 2020," katanya.