Malaysia akan kekal menjadi destinasi unggul bagi pelancong asing yang menjadikan negara ini sebagai destinasi beli-belah di sebalik pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bermula 1 April depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Peruncitan Kuala Lumpur Pavilion Sdn Bhd, Joyce Yap, berkata pelancong berpeluang menikmati lebih banyak penjimatan selepas GST dilaksanakan pada bulan depan.

Antara faktor yang menyumbang kepada penjimatan tersebut ialah skim bayaran balik pelancong (TRS), iaitu elemen penting yang turut diperkenalkan dalam sistem GST.

"Kebanyakan peruncit akan mengambil langkah berjaga-jaga. Saya percaya bagi tempoh enam bulan hingga 12 bulan akan datang peruncit tidak akan menaikkan harga, malah menyerap cukai enam peratus tersebut, ini adalah masa terbaik untuk pelancong membeli-belah," katanya ketika ditemui Bisnes Awani dalam satu temuramah di sini, baru-baru ini.

Tuntutan bayaran balik GST di bawah TRS adalah untuk barangan yang dibawa keluar oleh pelancong apabila meninggalkan Malaysia.

Menurut laman web GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia, TRS tidak termasuk perkhidmatan seperti sewa kereta, penginapan, hiburan atau barangan yang dimakan atau digunakan sebahagiannya di Malaysia termasuk minuman dan minyak wangi.

Bayaran balik boleh dituntut melalui kad kredit, bayaran tunai dan terhad kepada RM300 sahaja menerusi akaun bank, cek bank atau deraf bank.

Joyce juga menyarankan rakyat Malaysia untuk mengambil kesempatan ini dengan memilih untuk beli-belah di negara ini berbanding di luar negara.

"Jika dibandingkan dengan cukai enam peratus yang mana hanya dikenakan untuk pembelian melebihi RM300, anda masih harus berbelanja di negara ini. Malaysia harus dijadikan destinasi pilihan untuk membeli-belah," kata Joyce lagi.