KUALA LUMPUR: Pasaran tawaran awam permulaan (IPO) Malaysia kekal antara yang paling aktif di Asia Tenggara serta terus menerajui rantau ini dari segi jumlah dana IPO yang dikumpul dan bilangan penyenaraiannya, menurut Laporan Tinjauan Pertengahan Tahun IPO Asia Tenggara 2026 oleh Deloitte.
Laporan itu turut menyatakan Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai negara berprestasi terbaik bagi dua tempoh separuh pertama berturut-turut dengan Sunway Healthcare Holdings Bhd berjaya mengumpul AS$707 juta dan mencatatkan modal pasaran sebanyak AS$4.13 bilion pada separuh pertama 2026.
Rakan Perkhidmatan Pasaran Modal Deloitte (Malaysia) Wong Kar Choon berkata nilai pengumpulan dana melonjak dengan kukuh mencerminkan peralihan ke arah tawaran yang lebih besar dan berkualiti tinggi.
"Secara keseluruhannya, pasaran IPO Malaysia pada separuh pertama 2026 adalah aktif selain semakin matang, beralih daripada lonjakan dipacu oleh jumlah penyenaraian pada 2025 kepada fasa pertumbuhan yang lebih seimbang dan mementingkan kualiti," katanya.
Beliau menambah prospek IPO di Malaysia dijangka kekal positif bagi baki 2026 disokong oleh senarai kukuh lebih daripada 40 potensi penyenaraian.
Singapura berjaya mengatasi Indonesia dalam kedudukan IPO Asia Tenggara, menandakan keyakinan pelabur yang kian meningkat dan sokongan padu terhadap pembaharuan pasarannya.
Sementara itu, Vietnam kembali bangkit dengan kukuh daripada sifar IPO pada separuh pertama 2025 kepada empat IPO pada separuh pertama 2026 dengan modal pasaran IPO tertinggi sebanyak AS$6.92 bilion.
Deloitte memaklumkan pasaran modal IPO Asia Tenggara mencatatkan 47 IPO pada separuh pertama 2026 dengan lebih daripada AS$3.07 bilion hasil IPO dikumpul dan modal pasaran IPO sebanyak AS$15.07 bilion.
Ini berbanding separuh pertama 2025 yang mencatatkan 53 IPO dengan hasil IPO sebanyak AS$1.41 bilion dan modal pasaran IPO sebanyak AS$7.70 bilion.
Berbanding dengan separuh pertama 2025, jumlah IPO yang dikumpul dan modal pasaran IPO masing-masing meningkat sebanyak 117 peratus dan 96 peratus meskipun terdapat penurunan sebanyak 11 peratus dalam bilangan IPO di seluruh Asia Tenggara.
Laporan itu menyatakan purata saiz tawaran IPO adalah 2.4 kali ganda berbanding separuh pertama 2025, meningkat daripada AS$26 juta kepada AS$65 juta.
"Pasaran modal IPO Asia Tenggara sedang beralih ke arah mengutamakan kualiti berbanding kuantiti pada separuh pertama 2026 dengan mencatatkan tiga IPO berskala besar pada tempoh tersebut," jelasnya.
Ketiga-tiga IPO berkenaan berjaya mengumpul lebih daripada AS$500 juta setiap satu dan gabungan modal pasaran IPO sebanyak AS$8.93 bilion itu terdiri daripada UI Boustead REIT (Singapura), Sunway Healthcare Holdings Bhd (Malaysia) dan Dien May Xanh Investment Joint Stock (Vietnam).
Melangkah ke hadapan, Deloitte menjangkakan pasaran IPO Asia Tenggara kekal aktif, disokong oleh senarai bakal penyenaraian yang kukuh, sentimen pelabur yang semakin baik serta tekanan kadar faedah yang semakin berkurangan.
“Bagaimanapun, pasaran besar kemungkinan meneruskan peralihannya ke arah tawaran yang lebih sedikit tetapi berskala besar dan berkualiti lebih tinggi.
"Malaysia dijangka dapat mengekalkan aktiviti IPO manakala Singapura pula dijangka terus menarik penyenaraian institusi berskala besar," katanya.
-- BERNAMA