Malaysia dijangka mengekalkan status quo dasar monetarinya walaupun negara jiran mula mengetatkan kadar faedah.

Kenanga Investment Bank dalam laporan unjuran ekonominya berkata Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengamalkan pendirian yang akomodatif dan mengekalkan kadar dasar semalaman pada 3.5 peratus tahun ini.

"Ini berasakan kepada usaha untuk memastikan kestabilan pasaran modal dan kecairan yang tinggi serta menyokong pertumbuhan," katanya.

Sementara itu, ia juga berkata bekalan wang secara meluas perlahan kepada 5.5 peratus pada Mei daripada 6.2 peratus pada April, disebabkan oleh penyederhanaan aset asing bersih.

Bagaimanapun, pada asas bulan ke bulan, ia mencatatkan pertumbuhan 0.2 peratus ekoran tuntutan yang lebih tinggi terhadap pinjaman kerajaan dan BNM yang diperluaskan kepada sektor swasta.

Bagi wang secara kecil, pertumbuhannya menyederhana kepada paras terendah dalam tempoh 15 bulan kepada 6.7 peratus tahun ke tahun pada Mei memandangkan permintaan ke atas deposit menyusut untuk bulan kelima berturut-turut.

Bagi pertumbuhan pinjaman, kekal pada aliran meningkat pada Mei, mencatat paras tertinggi dalam tempoh lapan bulan berikutan pinjaman yang lebih tinggi yang diperluaskan untuk pembelian sekuriti, aset tetap tidak termasuk tanah dan bangunan, serta modal kerja.

Laporan itu juga menyebut bahawa menurut BNM, kecairan dan pembiayaan bank selepas Pilihan Raya Umum ke-14 kekal kondusif bagi menyokong pengantaraan kewangan.

"Mencerminkan sektor perbankan yang agak sihat, nisbah pinjaman kepada dana dan nisbah pinjaman kepada dana dan ekuiti masing-masing sebanyak 83 peratus dan 72.5 peratus, dengan semua peringkat perbankan mencatatkan paras melepasi syarat kawal aturan minimum pada 90 peratus," katanya.

-- BERNAMA