Malaysia mempunyai ekonomi yang kukuh untuk membayar semua hutang-hutang negara luar dan bukan calang-calang negara yang boleh dikompromi kedaulatannya, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Malaysia negara hebat yang kadar pertumbuhannya tinggi, berjaya menguruskan ekonomi dengan baik, dan mempunyai rekod cemerlang kerana tidak pernah gagal membayar hutangnya.

"Ya, kita ada hutang (dengan negara luar) tetapi kita (mampu untuk) bayar. Maka tidak boleh membandingkan Malaysia dengan negara lain yang sudah mengkompromikan kedaulatan mereka apabila terlalu banyak (kemasukan) pelaburan asing," tegas beliau.

Mustapa berkata demikian pada forum 'Pelaburan Asing dan Kedaulatan Negara' sempena Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional (Pemanas) di sini hari ini.

Beliau mengulas isu berhubung lambakan pelaburan China ke negara-negara lain, termasuk Malaysia, sambil menjelaskan terdapat negara seperti Sudan, Sri Lanka dan Kemboja menghadapi masalah membayar semula hutang kepada negara ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Pada tahun 2016, Singapura merupakan pelabur asing terbesar di Malaysia dengan jumlah RM115.7 bilion, diikuti oleh Jepun (RM70 bilion), Hong Kong (RM47.4 bilion), Belanda (RM41.5 bilion), Amerika Syarikat (RM36.8 bilion), Switzerland (RM27 bilion), Jerman (RM23.5 bilion), Virgin Island (RM21 bilion), United Kingdom (RM20.2 bilion) dan China (RM15.5 bilion).

Mustapa berkata pelaburan asing memainkan peranan yang besar dan telah mendatangkan banyak faedah kepada kemajuan Malaysia terutama kepada negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Selangor, Johor, Sarawak dan Melaka.

Beliau berkata tuduhan liar pihak pembangkang yang mendakwa lambakan pelaburan dari China boleh menggugat kedaulatan negara tidak sepatutnya timbul kerana China bukan pelabur asing terbesar di Malaysia.

Katanya pelaburan keluar negara merupakan satu kelaziman era globalisasi, ini termasuk pelaburan yang dibuat oleh syarikat-syarikat Malaysia seperti Petronas, Khazanah Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Maybank, CIMB, dan banyak lagi.

"Kalau (pembangkang) kata Malaysia sedang dijajah oleh China, bagaimana pula pelabur-pelabur Malaysia yang mempunyai ladang kelapa sawit di Indonesia, serta bank-bank Malaysia (yang beroperasi) di Indonesia.

"Malahan, Malaysia juga merupakan pelabur asing terbesar di Papua New Guinea. Adakah ini bermakna kita sedang menjajah mereka?" hujah beliau.

-- BERNAMA