KUALA LUMPUR:Malaysia mencatatkan pelaburan bernilai RM65.3 bilion dalam sektor pembuatan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, naik 16.6 peratus berbanding RM56 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) semalam, jumlah pelaburan yang diluluskan kebanyakannya merangkumi produk petroleum termasuk petrokimia (RM15 bilion), produk logam asas (RM14.5 bilion), elektrik dan elektronik (RM7.7 bilion), jentera serta peralatan (RM5.8 bilion), dan produk kimia serta kimia (RM4.5 bilion).

Pelaburan ini, bersama-sama dengan pengeluaran makanan (RM3 bilion), peralatan pengangkutan (RM3 bilion) serta peralatan saintifik dan pengukuran (RM2.1 bilion), membentuk 85 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan bagi sektor berkenaan.

"Berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas, pelaburan langsung domestik (DDI) dalam sektor pembuatan menyaksikan lonjakan sebanyak 45.5 peratus kepada RM25.9 bilion dalam tempoh ini manakala nilai pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan meningkat 3.2 peratus kepada RM39.4 bilion," kata MIDA.

Negeri-negeri yang mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi yang diluluskan dalam sektor pembuatan ialah Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Selangor, dan Johor, yang menyumbang sebanyak RM51.3 bilion secara kolektif.

Sementara itu, sumber utama FDI bagi tempoh sembilan bulan itu ialah China, Singapura, Switzerland, Amerika Syarikat, Belanda, Thailand, Jepun, dan Korea Selatan.

Lapan negara tersebut menyumbang 91.4 peratus atau RM36.0 bilion daripada jumlah FDI yang diluluskan dalam sektor pembuatan.

MIDA juga telah menarik pelaburan berkualiti dalam projek-projek berintensifkan modal, bernilai tambah serta berteknologi tinggi. Ini ditunjukkan dalam peningkatan pelaburan modal bagi setiap nisbah pekerja kepada RM1.28 juta dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini daripada RM1.04 juta yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Agensi itu juga berkata projek yang diluluskan akan menjana 51,172 pekerjaan untuk rakyat di negara ini, yang terdiri daripada 1,040 jurutera elektrik dan elektronik, 963 jurutera mekanikal serta 331 jurutera kimia.

"Di samping itu, projek pembuatan yang diluluskan juga memerlukan kira-kira 5,499 tukang mahir seperti penyelia penyelenggaraan loji, alat dan pembuat acuan, pengendali mesin, kakitangan IT, pengawal kualiti, juruelektrik dan pengimpal," katanya.

-- BERNAMA