KUALA LUMPUR: Malaysia tidak lagi dilihat sekadar destinasi pelancongan santai, sebaliknya semakin kukuh sebagai hab acara perniagaan yang menjana limpahan ekonomi bernilai tinggi kepada negara.
Melalui peranan aktif Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), industri ini kini menjadi antara pemacu utama pelancongan berimpak tinggi sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM 2026).
Advertisement
Pengerusi MyCEB, Dr. V. Sivakumar berkata, delegasi acara perniagaan lazimnya membelanjakan lebih tinggi, tinggal lebih lama serta memberi kesan langsung kepada sektor perhotelan, pengangkutan, makanan, industri kreatif dan perusahaan tempatan.
“Acara perniagaan bukan sekadar mesyuarat dan pameran. Ia merupakan platform yang membuka peluang pelaburan, pemindahan ilmu serta penciptaan pekerjaan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, peranan MyCEB bukan hanya membawa masuk acara antarabangsa semata-mata, malah komited memastikan limpahan ekonomi turut dirasai oleh rantaian industri tempatan, termasuk hotel, pengangkutan, penyedia perkhidmatan dan vendor.
“Pulangan sebenar diukur melalui penglibatan ekosistem tempatan. Apabila lebih banyak syarikat tempatan memperoleh peluang perniagaan dan lebih ramai rakyat mendapat pekerjaan, manfaatnya dapat dirasai merentas pelbagai sektor,” tambahnya.
RM4.07 bilion, impak ekonomi pada 2025
Pada 2025 sahaja, MyCEB telah menyokong sebanyak 393 acara perniagaan dengan anggaran impak ekonomi daripada delegasi antarabangsa mencecah RM4.07 bilion.
Pencapaian ini menunjukkan peranan penting industri berkenaan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negara, selain memperkukuh penjenamaan Malaysia di peringkat global.
Selaras dengan TMM 2026, segmen acara perniagaan dikenal pasti sebagai penyumbang utama kepada ketibaan pelancong berkualiti tinggi, peningkatan perbelanjaan serta potensi pelaburan langsung asing.
Strategi global dan kelestarian
Dalam usaha memperkukuh daya saing negara, MyCEB memberi tumpuan kepada kerjasama antarabangsa, amalan kelestarian dan nilai jangka panjang.
MyCEB turut terlibat secara aktif dalam rangkaian global seperti International Congress and Convention Association (ICCA) dan Global Association of the Exhibition Industry (UFI), yang membuka akses kepada data pasaran, trend industri serta peluang bidaan acara antarabangsa.
Pendekatan tersebut memastikan Malaysia sentiasa mematuhi piawaian global termasuk aspek tadbir urus, sosial dan alam sekitar (ESG) dan kelestarian, sekaligus meningkatkan keyakinan penganjur antarabangsa.
Selain itu, kedudukan geografi yang strategik, akses udara yang baik, infrastruktur moden serta kestabilan politik dan ekonomi terus memperkukuh reputasi Malaysia sebagai destinasi acara perniagaan bertaraf dunia.
Fokus sektor berimpak tinggi
MyCEB turut memberi keutamaan kepada acara dalam sektor strategik seperti perubatan dan penjagaan kesihatan, teknologi dan inovasi, halal dan makanan, tenaga, pendidikan, ekonomi digital, kelestarian alam sekitar serta sains hayat.
“Setiap acara bukan sahaja menjana pendapatan pelancongan, malah berpotensi membuka ruang pelaburan jangka panjang serta kerjasama perniagaan rentas sempadan”, kata beliau.
Promosi agresif ke pasaran global
Strategi pemasaran MyCEB menjelang TMM 2026 menumpukan kepada penjenamaan Malaysia sebagai destinasi mudah diakses, berdaya saing dan bernilai tinggi.
Penyertaan dalam pameran antarabangsa seperti IMEX, IBTM dan ITB, kempen Meet in Malaysia serta program MyTripleE menjadi antara platform utama yang mempromosikan kelebihan Malaysia.
Pendekatan berasaskan data dan kandungan digital juga diperkukuh bagi mengetengahkan kisah kejayaan serta impak ekonomi sebenar acara yang dianjurkan.
Bangunkan bakat profesional mampan
Bagi memastikan industri kekal relevan dan diyakini, MyCEB memberi penekanan kepada pembangunan profesional selari prinsip ESG.
Pada Januari lalu, seramai 67 pegawai MyCEB, MOTAC dan pemain industri Acara Perniagaan telah menyertai latihan Sustainable Event Professional Certificate (SEPC) dengan kerjasama badan pensijilan antarabangsa Events Industry Council (EIC), sekali gus meningkatkan keupayaan penganjuran acara mampan bertaraf antarabangsa.
Hala tuju 2026: Pulangan mampan kepada negara
“Menjelang 2026, fokus MyCEB adalah menarik lebih banyak Acara Perniagaan antarabangsa berimpak tinggi dengan sokongan insentif kerajaan merangkumi bantuan bidaan, sokongan teknikal dan promosi global.
“Pendekatan ini memastikan setiap pelaburan kerajaan bukan sekadar menarik acara, tetapi memberikan pulangan ekonomi mampan kepada negara dan rakyat”, kata Pengerusi MyCEB.
Malaysia kini berada pada landasan kukuh untuk muncul sebagai hab Acara Perniagaan yang bukan sahaja kompetitif, malah berdaya tahan dan diyakini di peringkat global selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 dan seterusnya.