Skip to main content

Bisnes

Malaysia pada kedudukan lebih kukuh susulan pembaharuan fiskal utama - Pengerusi SC

71718880818_tbMohammadFaizAzmi.jpg
Mohammad Faiz berkata, kedudukan kewangan negara yang semakin baik itu juga dapat dilihat menerusi penetapan harga terbitan Sukuk Kerajaan Malaysia dalam dolar Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini yang memaparkan pengiktirafan lebih kukuh daripada pelabur asing. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia kini berada pada kedudukan lebih kukuh berbanding tempoh sedekad lepas selepas kerajaan melaksanakan beberapa keputusan fiskal penting, termasuk penyasaran semula  subsidi serta tumpuan kepada pembangunan ekonomi.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, kedudukan kewangan negara yang semakin baik itu juga dapat dilihat menerusi penetapan harga terbitan Sukuk Kerajaan Malaysia dalam dolar Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini yang memaparkan pengiktirafan lebih kukuh daripada pelabur asing.

“Malaysia menawarkan pasaran modal yang mendalam serta pelbagai dengan saiz lebih besar berbanding aset-aset perbankan selain diiktiraf sebagai peneraju kewangan Islam, mempunyai asas-asas pengawal seliaan dan tadbir urus yang mantap serta komitmen kukuh bagi meningkatkan lagi hubungan rentas sempadan,” katanya pada acara Jelajah Pelaburan ASEAN pada Isnin.

Pada masa sama, Mohammad Faiz berkata, terdapat usaha untuk meningkatkan lagi kecemerlangan serta pertumbuhan pasaran modal Malaysia yang kini dilaksanakan menerusi Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 (CMP), termasuk inisiatif seperti MY Value Up bersama Bursa Malaysia yang melibatkan 88 syarikat senaraian awam utama negara.

SC juga baru-baru ini telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan Hong Kong (SFC) bagi mewujudkan rangka kerja untuk penyenaraian awam permulaan (IPO) dwi-penyenaraian menggunakan prospektus tunggal serta penyenaraian silang dana yang dilindungi, terutamanya dana dagangan bursa (ETF) dan amanah pelaburan hartanah (REIT).

Inisiatif itu bagi meluaskan akses pasaran, menyediakan lebih banyak pilihan kepada penerbit dan pelabur serta memperkukuh penyertaan rentas sempadan, katanya.

Mohammad Faiz berkata, pengawal selia ASEAN juga pada tahun lepas juga sepakat menyatakan persetujuan terhadap lima inisiatif utama, termasuk usaha mewujudkan piawaian pasaran karbon sukarela lebih konsisten serta melaksanakan Taksonomi ASEAN Versi 4.

Inisiatif itu turut merangkumi aspek penerbitan panduan pendedahan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang dipermudah untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di ASEAN selain pembangunan panduan projek bagi mengenal pasti projek rintis pembiayaan campuran bagi pelaksanaan serta daya tahan.

Jelas beliau, Pelan Tindakan Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) 2026-2030 terdiri daripada lima teras strategik, 11 keutamaan utama dan 18 inisiatif bagi memperkukuh integrasi serantau serta kedudukan ASEAN di peringkat global.

“Empat inisiatif utama dalam Pelan Tindakan ACMF itu melibatkan pengukuhan integrasi serantau dan kedudukan global bertujuan mempromosikan ASEAN Diamonds, memudah cara pewujudan indeks ASEAN, memberi tumpuan baharu kepada Kewangan Islam yang menjadi keunikan pasaran kita dengan alat saringan Syariah lebih baik serta memudah cara aktiviti, produk dan hubungan dalam ASEAN,” katanya.

Mohammad Faiz berkata, keutamaan ini adalah untuk mewujudkan satu jawatankuasa yang dapat mempromosikan ASEAN sebagai satu kelas aset yang kini diterajui oleh Filipina dan Singapura.

Beliau turut menekankan kepentingan hubungan serantau yang lebih kukuh serta penyertaan antarabangsa bagi fasa pertumbuhan ASEAN seterusnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pelabur untuk melihat semula ASEAN sebagai sebuah destinasi pelaburan strategik bagi jangka panjang.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement