Malaysia perlu agresif menarik pelaburan langsung asing (FDI) tahun ini memandangkan keadaan ekonomi global yang mencabar.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata negara juga terpaksa bersaing dengan negara lain dalam mendapatkan pelaburan khususnya di rantau ini.

"Tahun ini agak mencabar dari segi pelaburan dan dalam kita agresif menarik pelaburan luar, negara lain juga turut meningkatkan usaha mereka.

"Jadi kita perlu bersaing dalam menarik pelbagai FDI yang datang dari seluruh dunia," katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di sini, pada Ahad.

Mustapa berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sama ada sasaran pelaburan dijangka terjejas berikutan cabaran ekonomi dunia yang dijangka lebih hebat tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, sasaran pelaburan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) sebelum ini terutamanya pelaburan swasta berjaya melepasi sasaran iaitu RM148 bilion sehingga RM150 bilion setiap tahun.

Selain itu, berdasarkan angka perdagangan yang dikeluarkan baru-baru ini turut menunjukkan FDI dan pelaburan swasta masih mantap.

Beliau berkata angka perdagangan keseluruhan tahun 2015 akan dikeluarkan dalam tempoh sebulan lagi.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2015 sejumlah RM153.2 bilion pelaburan dicatatkan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan beberapa sektor utama.

Bagaimanapun, angka itu lebih rendah daripada RM180 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2014.

Daripada jumlah tersebut pelaburan domestik berjumlah RM124.9 bilion, iaitu 82 peratus daripada pelaburan, manakala bakinya adalah pelaburan asing.