KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan pembaharuan institusi untuk memastikan penyertaan awam yang mampan, pengawasan dan amalan ketelusan dalam proses belanjawan, kata Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).

Timbalan Pengarah Penyelidikan IDEAS, Sri Murniati Yusuf dalam satu kenyataan hari ini berkata institut itu meminta kerajaan mempercepatkan langkah menjadikan Parlimen lebih profesional dan bertanggungjawab bagi mencapai peningkatan besar dalam pengawasan.

"Parlimen kita memerlukan jawatankuasa pilihan parlimen bagi membolehkan perbahasan mengenai perbelanjaan, dasar dan pentadbiran boleh dilakukan dengan lebih kerap. Parlimen juga perlu mempunyai platform untuk penyertaan awam yang lebih aktif dalam amalan pengawasan seperti pendengaran awam untuk sesi jawatankuasa pilihan parlimen tertentu," katanya.

Sri Murniati berkata demikian bagi mengulas penemuan dalam kaji selidik '2021 Open Budget Survey (OBS)' yang menunjukkan Malaysia mengekalkan tahap ketelusan yang terhad dengan skor yang sama iaitu 47 daripada 100 seperti pada tahun 2019.

"Peningkatan dalam kedua-dua markah pengawasan dan penyertaan awam adalah menggalakkan tetapi penambahbaikan ini mungkin tidak mampan.

"Ia bersifat bermusim dan belum tertumpu pada amalan yang telah ditetapkan," kata Sri Murniati.

Beliau menjelaskan bahawa laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) adalah contoh penyertaan awam yang terbaik tetapi ia terhad kepada pakej rangsangan dan kemas kini mengenai pelaksanaan Belanjawan tahunan yang tidak tersedia untuk orang awam sekarang.

Malaysia berada di tempat ke-57 daripada 120 negara yang dinilai dalam OBS 2021 dan markah penyertaan awam Malaysia meningkat daripada 17 kepada 26, berada pada kedudukan kedua tertinggi selepas Filipina di Asia Tenggara.

Sementara itu, skor pengawasan telah meningkat daripada 31 pada 2019 kepada 39 pada 2021.

Skor pengawasan itu mengukur sejauh mana Parlimen dan Jabatan Audit Negara dapat menyediakan pemeriksaan untuk memastikan kerajaan bertanggungjawab terhadap pengurusan kewangan.

-- BERNAMA