BISNES
Malaysia, Rusia akan tingkatkan kerjasama ekonomi - Fadillah

Fadillah berkata jumlah dagangan kedua-dua negara pada 2024 masih kecil berbanding saiz ekonomi Rusia yang besar.
MOSCOW: Malaysia dan Rusia akan meningkatkan kerjasama ekonomi terutama dalam sektor berpotensi besar untuk diteroka termasuk industri halal, pertanian serta keterjaminan makanan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Ringkasan AI
- Malaysia dan Rusia akan meningkatkan kerjasama ekonomi dalam sektor berpotensi seperti industri halal, pertanian, keterjaminan makanan, teknologi pertanian, kewangan Islam dan ekonomi digital, dengan jumlah dagangan dua hala mencecah RM11.46 bilion pada 2024.
- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof turut mencadangkan kerjasama dalam penyelidikan teknologi baja, kejuruteraan agro, teknologi makanan serta biasiswa pendidikan tinggi dalam bidang baharu seperti AI dan data raya.
- Isu transaksi kewangan yang menjejaskan perdagangan dua hala turut dibangkitkan oleh Rusia, dan kerajaan Malaysia memberi jaminan akan memudah cara urusan tersebut melalui agensi berkaitan termasuk Bank Negara Malaysia.
Eksport utama Malaysia ke Rusia termasuk produk elektrik dan elektronik, jentera, peralatan dan alat ganti serta makanan yang diproses.
"Saya juga telah menjemput syarikat-syarikat Rusia untuk melabur di Malaysia dan mengambil peluang daripada insentif yang ditawarkan kerajaan Malaysia dalam sektor strategik seperti industri angkasa lepas, teknologi pertanian, tenaga, teknologi maklumat dan komunikasi, ekonomi digital, kewangan Islam dan industri halal," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengakhiri lawatan kerja selamat empat hari ke Rusia malam tadi.
Fadillah turut menekankan kerjasama pertanian dan keterjaminan makanan serta industri halal selain membangkitkan cadangan agar Malaysia dan Rusia bekerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan berkaitan teknologi baja dan racun serangga, kejuruteraan agro dan teknologi makanan.
"Saya turut menyentuh mengenai kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi, dan saya turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Rusia atas biasiswa yang diberikan kepada pelajar Malaysia.
"Dalam hal ini, saya telah mencadangkan agar biasiswa berkenaan turut ditawarkan bagi sektor utama baharu muncul seperti kecerdasan buatan, data raya dan sains maklumat selari dengan transformasi industri masa kini," katanya.
Beliau turut menekankan mengenai kerjasama pelancongan, dengan Malaysia mengalu-alukan cadangan penerbangan terus di antara Malaysia dengan Rusia yang akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
Bagaimanapun, Fadillah berkata Rusia turut membangkitkan isu transaksi kewangan yang sedikit sebanyak merencatkan perkembangan perdagangan dua hala Malaysia dan Rusia.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia menerusi agensi yang bertanggungjawab termasuk Bank Negara Malaysia akan terus memudah cara bagi memastikan kelancaran transaksi kewangan di antara kedua-dua negara.
"Sudah tentu saya akan membawa setiap intipati perbincangan saya dengan pihak Rusia kepada perhatian Jemaah Menteri sebaik sahaja kepulangan saya ke tanah air.
"Insya-Allah, saya yakin kerjasama Malaysia dan Rusia akan terus berkembang dengan positif dan akan memberikan manfaat kepada negara kita," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami