Skip to main content

Teknologi

Geely dakwa capai lonjakan baharu teknologi bateri EV

Sumber: AMANZ
Teknologi bateri berkenaan mampu meningkatkan tahap pengecasan daripada 10 peratus kepada 70 peratus dalam tempoh hanya 4 minit 22 saat, sekali gus melepasi pencapaian teknologi pengecasan pantas kenderaan elektrik (EV) sebelum ini. -Foto Amanz

HANGZHOU: Geely menerusi anak syarikatnya, Lynk & Co dan Zeekr, hari ini mengumumkan pelancaran teknologi bateri baharu dikenali sebagai Energee Golden Brick Battery, yang didakwa antara sistem pengecasan terpantas setakat ini, lapor Amanz.

Teknologi bateri berkenaan mampu meningkatkan tahap pengecasan daripada 10 peratus kepada 70 peratus dalam tempoh hanya 4 minit 22 saat, sekali gus melepasi pencapaian teknologi pengecasan pantas kenderaan elektrik (EV) sebelum ini.

Advertisement

Bagi pengecasan dari 10 peratus ke 80 peratus, ia hanya memerlukan masa 5 minit 32 saat, manakala tahap pengecasan sehingga hampir penuh, sekitar 97 peratus kapasiti, boleh dicapai dalam tempoh 8 minit 42 saat.

Bateri tersebut telah digunakan pada dua model EV terbaharu Lynk & Co, iaitu Lynk & Co 10+ dan Lynk & Co 10, yang dilengkapi sistem voltan tinggi 900V serta kapasiti bateri 95 kilowatt-jam (kWh).

Menerusi konfigurasi itu, kenderaan berkenaan mampu menawarkan jarak perjalanan sehingga 816 kilometer mengikut kitaran ujian China Light-Duty Vehicle Test Cycle (CLTC), selain menambah jarak perjalanan sekitar dua kilometer bagi setiap saat pengecasan.

Bagaimanapun, prestasi pengecasan ultra-pantas itu hanya dapat dicapai melalui penggunaan rangkaian pengecas berkuasa tinggi V4 yang menawarkan kuasa puncak sehingga 1,300 kilowatt (kW) dengan sistem penyejukan cecair berterusan.

Di Malaysia, keupayaan pengecasan sepantas itu masih belum dapat dinikmati secara meluas memandangkan infrastruktur pengecasan awam terpantas sedia ada ketika ini hanya menawarkan kuasa sekitar 400kW arus terus (DC).

Selain itu, sasaran kerajaan untuk menyediakan 10,000 unit pengecas EV di seluruh negara menjelang penghujung 2025 dilaporkan masih belum dicapai sepenuhnya.

Penganalisis automotif berpendapat, meskipun syarikat nasional seperti Proton berpotensi memanfaatkan teknologi bateri Geely ini pada masa hadapan, keberkesanannya tetap banyak bergantung kepada ketersediaan rangkaian pengecasan berkuasa tinggi dalam negara.

Must Watch Video