PUTRAJAYA: Malaysia telah mengesahkan kehadiran sulungnya dalam pameran komuniti acara, mesyuarat dan insentif terkemuka UK, The Meetings Show 2023.

Diterajui oleh Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCEB), negara kita akan melibatkan diri memberi insentif dengan para pemain industri di Excel London dari 28 hingga 29 Jun 2023.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB Zain Azrai Rashid, berkata, Team Malaysia sangat teruja untuk menjadi sebahagian daripada acara tersebut buat pertama kalinya memandangkan ia merupakan platform pertemuan progresif dan pembekal acara global yang terkenal.

“Industri acara perniagaan di Asia melonjak sekali lagi dan Malaysia bersedia untuk menjadi sebahagian daripada usaha menjemput pengunjung perniagaan kembali ke rantau ini.

“Ketika kehadiran kita di acara itu adalah untuk menempatkan Malaysia sebagai destinasi pilihan acara perniagaan di Asia, kita juga melihat kepada melonjakkan keberadaan rantau ini.

“Kita percaya dengan usaha bersepadu bersama negara-negara ASEAN lain menerusi perkongsian pengetahuan dan pertukaran perniagaan adalah jalannya untuk terus ke hadapan,” katanya.

Pada acara tersebut, Pasukan Malaysia akan membawakan tema ‘Tekat’, diinspirasikan oleh seni sulaman tradisional, ia merupakan tema yang merangkumi matlamat Malaysia untuk mencetuskan peluang keemasan dalam menganjurkan acara-acara hebat.

Sebagai menggemakan tema tersebut, para pengunjung bakal disajikan dengan maklumat tentang perkembangan industri acara perniagaan Malaysia daripada penerajunya sendiri.

MyCEB juga akan mempersembahkan buah tangan menarik termasuk pakej sokongan untuk para perancang acara perniagaan antarabangsa, ditambah dengan kesediaan Pasukan Malaysia untuk menerima maklum balas dan cabaran daripada para hadirin menerusi peluang-peluang rangkaian dan penjanaan pimpinan perniagaan.

Zain turut menekankan bahawa acara tersebut menjadi lebih bermakna dan istimewa dengan pelancaran reruai pada 28 Jun 2023, bersempena Hari Raya Aidiladha.

“Kami mengambil peluang untuk membawa pengunjung kepada pengalaman dan budaya Malaysia menerusi pelancaran reruai ini, menjemput semua untuk hadir dan bertemu mesra dengan pasukan kami sambil menikmati juadah raya.

“Acara tersebut juga akan dihadiri pihak-pihak berkaitan sektor pelancongan negara termasuk Pesuruhjaya Tinggi Malaysia dan Tourism Malaysia,” maklum Zain.

Pasukan Malaysia akan diketuai Pengarah Bahagian Pengurusan Acara MyCEB bersama Pusat Konvensyen Borneo Kuching, Business Event Sarawak, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Untuk maklumat lanjut berkenaan penyertaan Pasukan Malaysia dalam The Meetings Show 2023, hubungi MyCEB menerusi laman web https://www.myceb.com.my/ atau kunjungi reruai Stand C31 di acara itu nanti.