KUALA LUMPUR: Malaysia telah dipilih sebagai Pusat Operasi Keselamatan Siber (CSOC) pertama Siemens Energy di rantau Asia-Pasifik, sekali gus meletakkan negara di peta dunia sebagai kuasa besar keselamatan siber serantau.

Siemens Energy, syarikat teknologi tenaga utama dunia, dalam kenyataan pada Rabu, memaklumkan CSOC dilengkapi dengan Teknologi Keselamatalan Siber (OT) Managed Detection Response (MDR), khusus untuk memantau, mengesan dan mengurangkan ancaman ancaman siber pada infrastruktur kritikal seperti tenaga dan utiliti.

"Pusat inovatif ini memanfaatkan Kepintaran Buatan (AI) dan pasukan pakar keselamatan siber khusus untuk menyediakan pemantauan, pengesanan dan sokongan krisis tepat pada masanya untuk menjamin persekitaran operasi perniagaan 24/7 dan memastikan kesinambungan operasi," menurut syarikat itu.

Kenyataan itu menyebut, dengan CSOC, Siemens Energy akan dapat menyediakan perkhidmatan keselamatan siber OT termaju kepada pelanggan di seluruh rantau ini, memanfaatkan pengajaran daripada pelbagai kes untuk terus memperhalusi perkhidmatannya sambil kekal di barisan hadapan dalam arah aliran keselamatan siber untuk melindungi pelanggannya secara proaktif.

"Pusat Operasi Keselamatan Siber Siemens Energy Asia Pasifik diunjurkan mempunyai aliran masuk pelaburan lebih daripada EUR2 juta (bersamaan RM10 juta) dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang dan sehingga EUR3 hingga 4 juta (bersamaan dengan RM15 hingga 20 juta) dalam tempoh lima tahun akan datang," menurut syarikat berkenaan.

Dalam kenyataan sama, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Mahadhir Aziz, berkata CSOC mewakili sokongan kuat terhadap keupayaan dan kapasiti digital Malaysia serta menjadi hab digital pilihan di ASEAN untuk pelabur antarabangsa.

"MDEC akan terus memudahkan lebih banyak pengembangan di Malaysia dalam meningkatkan keseluruhan nilai ekosistem digital sejajar dengan Malaysia Digital (MD)," katanya.

-- BERNAMA