Skip to main content

Bisnes

Malaysia terus catat prestasi ekonomi positif - Ketua Perangkawan

JASIN, 13 Mac -- Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Zulkifli Mohd Yusof, 23, (dua, kanan) dan ibunya Faridah Abdul Ghani, 57, (dua, kiri) pada Majlis Nur Ramadan DOSM Melaka: Menyemai Kasih, Menuai Berkat di Kampung Tedong Barat, hari ini  — fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohd Uzir (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Zulkifli Mohd Yusof, 23, (dua, kanan) dan ibunya Faridah Abdul Ghani, 57, (dua, kiri) pada Majlis Nur Ramadan DOSM Melaka: Menyemai Kasih, Menuai Berkat di Kampung Tedong Barat. - Gambar Bernama

JASIN: Malaysia terus menunjukkan prestasi ekonomi yang positif meskipun berdepan ketidaktentuan global.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, data awal dikeluarkan untuk awal tahun ini menunjukkan ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 5.2 peratus pada 2025, disokong oleh perkembangan kukuh dalam pelbagai sektor ekonomi termasuk sektor runcit.

Advertisement

“Prestasi perdagangan borong dan runcit melebihi RM150 bilion pada Januari, sekali gus mencerminkan tahap perbelanjaan domestik yang masih kukuh. Ini menunjukkan kecergasan ekonomi negara masih berada pada landasan positif dan momentum pertumbuhan itu mula dirasai sejak awal tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikan kepada pemberita selepas menghadiri Program Ziarah Kasih Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Melaka di Kampung Tedong Barat, Serkam, di sini, pada Jumaat.

Mohd Uzir berkata, kepelbagaian struktur ekonomi negara serta transformasi merangkumi sektor pertanian, perlombongan, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan menjadi faktor penting kepada ketahanan ekonomi Malaysia.

"Data awal di lapangan turut mendapati respons positif daripada pengusaha termasuk lebih 400,000 pengusaha mikro dan kecil yang dibanci setakat ini. Ini memberi gambaran kecergasan ekonomi  itu sangat positif  dan momentum itu pertumbuhan itu telah dilihat," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pelaksanaan Banci Ekonomi oleh kerajaan juga dijangka akan memberi gambaran lebih menyeluruh mengenai peranan aktiviti ekonomi tidak formal yang semakin berkembang dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Jelasnya, bancian dilaksanakan kali ini turut memberi tumpuan kepada sektor tidak formalm, sebelum ini kurang direkodkan secara menyeluruh dalam statistik ekonomi negara.

"Perkembangan teknologi dan kemudahan digital kini membuka lebih banyak ruang kepada individu terutama golongan muda untuk menjana pendapatan tanpa perlu bergantung kepada pekerjaan formal.

"Dulu mungkin agak sukar untuk seseorang menjadi usahawan tetapi hari ini dengan kreativiti dan teknologi digital mereka boleh memasarkan produk dari mana sahaja," katanya.

Mohd Uzir memberitahu perkembangan industri pelancongan di Melaka sebagai contoh turut menyaksikan pertumbuhan pelbagai aktiviti ekonomi tidak formal termasuk pengendalian inap desa dan perkhidmatan sokongan yang memberi sumbangan kepada ekonomi tempatan.

"Pengumpulan data menerusi bancian itu penting bagi membantu kerajaan menilai keberkesanan dasar ekonomi serta merangka langkah penambahbaikan yang lebih tepat untuk memperkukuh sektor berkenaan.

“Melalui data yang dikumpulkan, kerajaan dapat melihat rantaian aktiviti ekonomi ini dengan lebih jelas dan merangka bantuan atau sokongan yang sesuai,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video