KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama tahun ini, meningkat berbanding 4.4 peratus yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Pertumbuhan positif itu direkodkan ketika dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi global susulan konflik geopolitik di Asia Barat.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pertumbuhan itu dipacu permintaan domestik yang kekal berdaya tahan selain sokongan prestasi eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang memberangsangkan.
Menurut beliau, perbelanjaan isi rumah terus disokong oleh keadaan pasaran buruh yang positif dengan kadar pengangguran kekal rendah selain langkah dasar bersasar kerajaan.
"Pertumbuhan pelaburan pula dipacu pelaksanaan berterusan projek berbilang tahun oleh sektor swasta dan awam, kadar realisasi tinggi pelaburan yang diluluskan serta kemajuan pelan induk nasional," katanya ketika sidang media prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Suku Pertama 2026 di sini, pada Jumaat.
Turut hadir, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.
Abdul Rasheed menambah, eksport negara kekal berkembang kukuh terutama menerusi sektor E&E, disokong permintaan berterusan terhadap komponen berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan pusat data global.
Dari sudut penawaran pula, kata beliau, sektor perkhidmatan berkembang lebih perlahan berikutan penurunan jualan kenderaan bermotor selepas pembelian awal sebelum tamat pengecualian duti import kenderaan elektrik pada penghujung tahun lalu.
"Sektor perkilangan pula terus disokong oleh prestasi E&E yang lebih baik, manakala sektor pertanian mencatat pertumbuhan lebih rendah susulan pengeluaran minyak sawit kembali normal dan aktiviti penanaman semula yang berterusan.
"Pada masa sama, sektor perlombongan dan pengkuarian menguncup disebabkan pengeluaran minyak dan gas yang lebih rendah, manakala sektor pembinaan kembali sederhana selepas pertumbuhan dua angka sebelum ini," ujarnya.