Maxis Bhd mengumumkan langkah syarikat memperkemaskan struktur organisasinya kepada empat bidang perniagaan dengan diterajui ketua masing-masing, bagi mengukuhkan bidang perniagaan teras untuk pertumbuhan masa depan.

Bidang pertama, penyelesaian enterpris, mengurus perusahaan syarikat, kerajaan dan perniagaan PKS manakala yang kedua, perniagaan pengguna, bertanggungjawab bagi pengurusan hujung ke hujung semua perniagaan mudah alih dan tetap untuk segmen pengguna.

Jualan dan perkhidmatan, bidang ketiga, memberi tumpuan kepada perkhidmatan pengguna serta saluran dan pengurusan rangkaian bekalan manakala keempat, perkhidmatan digital, mengendalikan pembangunan media digital inovatif dan perkhidmatan berasaskan pengawanan Maxis termasuk aplikasi mudah alih.

Operasi harian keempat-empat bidang berkenaan akan disokong oleh bahagian perundangan dan hal ehwal kerajaan dan kawal selia, perkhidmatan maklumat, rangkaian, kewangan, sumber manusia dan hal ehwal korporat.

"Struktur organisasi kami yang diperkemas ini merupakan langkah penting dalam melaksanakan misi kami untuk menjadi penyedia perkhidmatan komunikasi bersepadu.

"Usaha ke arah mewujudkan struktur ini dibuat sebagai respons kepada dinamik pasaran yang berkembang dan perubahan permintaan pengguna dan akan membolehkan Maxis bersaing dengan lebih berkesan untuk memberikan lebih nilai kepada pelanggan dan pemegang saham," kata Pengerusi Maxis Bhd Raja Tan Sri Datuk Seri Arshad Raja Tun Uda.

Struktur berkenaan yang berkuat kuasa hari ini, diketuai oleh Pegawai Operasi Bersama Nasution Mohamed dan Suren J. Amarasekera, yang akan menerajui keseluruhan syarikat dan bertanggungjawab bagi prestasinya.

Pastikan anda tidak terlepas berita terkini. Muat turun aplikasi percuma AstroAWANI di App Store dan Google Play.