KUALA LUMPUR: Arab Saudi mempergiat usaha pendigitalan pengurusan fatwa dan penyelidikan syariah menerusi penggunaan kecerdasan buatan (AI), selaras Visi Saudi 2030 yang menyasarkan peningkatan kecekapan kerajaan serta peluasan perkhidmatan digital.
Agensi Berita Saudi (SPA) melaporkan, Presidensi Am Penyelidikan Ilmiah dan Fatwa telah merealisasikan 22 pencapaian dan inisiatif sepanjang 2026, meliputi empat bidang utama iaitu strategik, teknologi, pentadbiran serta kewangan dan operasi.
Antara inisiatif utama ialah pembangunan sistem teknologi bagi Jawatankuasa Tetap Fatwa untuk mengautomasikan proses pengurusan fatwa, termasuk penerimaan, pengelasan dan penyaluran soalan, selain pendokumentasian serta pengarkiban fatwa.
Presidensi itu turut bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Data dan Kecerdasan Buatan Saudi (SDAIA) bagi meneroka penggunaan AI dalam penyelidikan syariah, termasuk pencarian pintar fatwa dan sumber ilmiah, pengelasan soalan yang serupa serta pemadanan dengan fatwa terdahulu.
Teknologi analisis teks turut dimanfaatkan bagi membantu penyelidik meneliti dan membandingkan bahan ilmiah, sekali gus memudahkan pencarian rujukan serta mempercepat pelaksanaan tugas berkaitan fatwa, menurut SPA.
Inisiatif itu bertujuan meningkatkan ketepatan dan mempercepat proses pengurusan fatwa, selain memelihara khazanah ilmiah institusi berkenaan serta memudahkan akses penyelidik dan penuntut ilmu kepada sumber berkaitan.
Usaha pendigitalan itu turut merangkumi penubuhan Pejabat Pengurusan Data, Pejabat Transformasi Digital dan Jabatan Keselamatan Siber bagi meningkatkan kualiti data, memperluas perkhidmatan digital serta melindungi sistem dan maklumat.
Bagi memperkukuh tadbir urus, presidensi itu menubuhkan Pejabat Sokongan Keputusan untuk memastikan keputusan dibuat berdasarkan kajian dan petunjuk yang boleh dipercayai, selain Unit Kecemerlangan Institusi bagi meningkatkan kualiti prestasi dan memperkukuh akauntabiliti.
Dari aspek pentadbiran, institusi itu menyusun semula struktur organisasinya, memperkukuh pembangunan sumber manusia serta menyeragamkan prosedur penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai di seluruh Arab Saudi.
Bagi meningkatkan kecekapan kewangan dan operasi, beberapa mekanisme turut diperkenalkan, termasuk pemantauan inventori, penubuhan Jawatankuasa Kecekapan Perbelanjaan dan penilaian cadangan perolehan sebelum keputusan dibuat.
Pada peringkat seterusnya, presidensi itu merancang melaksanakan strategi dan struktur organisasi yang ditambah baik, memperkenalkan petunjuk prestasi untuk mengukur impak perkhidmatan terhadap penerima manfaat serta memperluas perkhidmatan digital.
Institusi itu juga akan memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan dan institusi ilmiah bagi menyokong usaha meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan fatwa dan penyelidikan syariah.
Pendekatan itu sejajar dengan matlamat Visi Saudi 2030 untuk memperkukuh transformasi digital, meningkatkan kecekapan institusi awam dan menambah baik mutu perkhidmatan kerajaan menerusi penerapan teknologi.
-- BERNAMA