KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), sedang melaksanakan Inisiatif e-Invois Kebangsaan bagi memacu kebolehoperasian dan penyelarasannya dalam mendigitalkan perniagaan.

Inisiatif tersebut akan mewujudkan rangka kerja kebolehoperasian e-invois bagi penyedia perkhidmatan syarikat tempatan dan menggalakkan penggunaannya dalam aktiviti perniagaan di Malaysia, sekali gus melengkapkan sistem percukaian dilaksanakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

"Pelaksanaan e-invois untuk pendigitalan perniagaan (B2B) akan memudahkan perniagaan dalam mematuhi e-invois bagi pematuhan cukai," kata MDEC dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, perniagaan yang menggunakan e-invois tersebut menerima pelbagai manfaat seperti mengurangkan kos pematuhan cukai, memudahkan urusan penyimpanan rekod, memudahkan pertukaran data rentas sempadan menerusi transaksi perniagaan serta menamatkan kemasukan data secara manual dan penggunaan kertas.

Malah, inisiatif itu secara tidak langsung dapat menggalakkan usaha syarikat dalam memenuhi komitmen amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), kata MDEC.

Usaha itu juga sejajar dengan pelaksanaan e-invois untuk B2B menggunakan rangka kerja Peppol yang terdiri daripada spesifikasi teknikal bagi penyelesaian e-Perolehan sedia ada atau sistem Perancangan Sumber Perusahaan (ERP) yang membuka ruang bagi kebolehoperasian lebih sistematik antara sistem berbeza rentas perniagaan selain memudahkan pertukaran e-invois.

MDEC baru-baru ini telah dilantik sebagai Pihak Berkuasa Peppol Malaysia yang memberi akreditasi kepada penyedia perkhidmatan dan penyedia penyelesaian bagi menetapkan aspek piawaian teknikal, pematuhan rangka kerja secara keseluruhan di Malaysia serta menggalakkan penggunaan e-invois dalam perniagaan di negara ini.

Sementara itu, satu sesi perbincangan bertajuk 'A Vision for Interoperability: E-invoicing and its Potential in Digital Trade' akan diadakan di acara Ekspo Digital Malaysia 2023 MDEC pada 6 Nov, 2023.

"Barisan panel penceramah termasuk wakil daripada OpenPeppol serta Pihak Berkuasa Peppol Jepun, Singapura dan Australia," kata MDEC.

-- BERNAMA