BUSINESS
Memanusiakan data, DOSM lancar Dashboard PENJAYA fokus peniaga kecil, penjaja

Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin meluncurkan Dashboard PENJAYA di sebuah hotel di Bangi, Selangor pada Isnin.
BANGI: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melancarkan Dashboard PENJAYA bertujuan mendekatkan perkhidmatan statistik kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata data yang dikumpul dan dianalisis akan dipersembahkan secara interaktif kepada pelbagai pihak menerusi platform ini.
“Data memerlukan roh, di sebalik setiap angka itu ada cerita rakyat tersendiri. Jadi ini caranya untuk memanusiakan pangkalan maklumat yang kita ada.
“DOSM selama ini sering menumpukan statistik tier satu seperti kadar import dan eksport negara atau pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK).“Ini sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk DOSM, kita mahu sediakan data yang lebih dekat kepada masyarakat,” katanya ketika Majlis Peluncuran Dashboard PENJAYA di sebuah hotel di sini, pada Isnin.
Antara maklumat dikemukakan dalam Dashboard PENJAYA ini adalah data sosioekonomi seperti bilangan penduduk, lokasi tumpuan pelancong dan jumlah pelancong ke Putrajaya.
Selain itu, ia merekodkan profil peniaga iaitu umur, jantina, etnik dan jenis aktiviti perniagaan serta semakan keahlian.
Sementara itu, Presiden Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Putrajaya (PENJAYA), Zainal Abidin Abdul Majid berkata Dashboard PENJAYA membolehkan bantuan kerajaan dimohon dengan lebih tepat.
“Kita boleh tahu dalam kalangan peniaga ni, berapa banyak bajet diperlukan kerana data dikumpul adalah lebih mendalam dan terperinci untuk setiap seorang.
“Contohnya sekarang kalau kita minta peruntukan melalui Kementerian Usahawan, kita hanya anggarkan.
“Jika kita ada statistik bersasar, misalnya seorang penjaja memerlukan RM1,000 dan jumlah penjaja ada 500,000 orang, maka kita boleh mohon bantuan dengan tepat,” jelas Junaidi.
Dashboard PENJAYA dijangka berfungsi sepenuhnya dan boleh diakses orang awam menjelang hujung tahun ini, dan ia akan terus dikembangkan ke seluruh Malaysia sekiranya mendapat sambutan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami