SIAPA di sini setiap kali menyertai sesi telesidang atau panggilan video mematikan kamera agar si pemanggil tidak boleh melihat wajah anda?

Sebab apa anda lakukan, adakah kerana malu atau tidak bersedia dengan muka baru bangun tidur?

Akan datang, anda boleh melakukan panggilan video dengan “muka sendiri” berserta suara tanpa menggunakan kamera web.

Bagaimana? Sudah semestinya dengan sistem kecerdasan buatan generatif.

Baru-baru ini Microsoft Research telah memperlihatkan VASA iaitu sistem AI yang boleh menjana wajah manusia yang hiper-realistik berserta dengan emosi pada wajah.

Bukan itu sahaja, VASA turut boleh menjana semula suara manusia untuk bercakap seakan manusia.

VASA-1 iaitu model bahasa raya versi pertama Microsoft untuk AI seperti ini dikatakan boleh menjana video beresolusi 512×512 dengan kadar bingkai (FPS) 40fps.

Kajian ini menyatakan yang penggunaan VASA sebagai watak untuk telesidang akan ada sela masa tetapi janaan di luar talian seperti sekadar ujian menjana watak dengan suara mempunyai prestasi percakapan dan raut wajah yang realisitik.

Microsoft memberitahu yang VASA masih tidak ditawarkan kepada umum kerana risau akan ada individu yang menyalahgunakan teknologi ini untuk tujuan aniaya.

Walaupun sistem mengesan penipuan telah dibangunkan, Microsoft masih belum sedia memberi orang awam akses kepada VASA-1.

Adakah ini satu teknologi AI generatif yang anda ingin gunakan? Jika ia terhad kepada Microsoft Teams sahaja dan perlu bayar pada harga mahal, adakah anda akan langgan juga? -Amanz