KOTA BHARU: Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) memperuntukkan sebanyak RM60 juta menerusi skim Pembiayaan Peluang Kedua (2CF) yang dilancarkan pada 16 Jun lalu.

Pengerusi Kumpulan MIDF Tan Sri Abdul Rahman Mamat memberitahu skim berkenaan dapat memberi manfaat kepada peniaga atau pengusaha syarikat terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menghadapi cabaran serta kesulitan kewangan.

Skim ini akan membolehkan peminjam yang berkelayakan memohon pinjaman minima serendah RM50,000 sehingga pinjaman secara maksima sebanyak RM5 juta dengan kadar keuntungan yang dikenakan sebanyak tiga peratus.

"Menerusi skim ini ia dapat membantu syarikat yang berdepan dengan masalah kewangan yang berkemungkinan terkesan dengan ekonomi semasa mahupun disebabkan pandemik COVID-19. Kita tidak mahu mereka terus gagal, tetapi kita cuba bagi talian hayat untuk mereka.

"Kebiasaannya, sekiranya syarikat yang terkesan seperti ini berhasrat untuk membuat pinjaman di bank-bank komersial, permohonan mereka tidak diluluskan. Jadi, mereka boleh hadir ke MIDF untuk membuat permohonan menerusi skim baharu ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir di Program Santai Petang bersama MIDF yang turut dihadiri oleh Ketua Pembangunan Kewangan MIDF Azizi Mustafa di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata setakat ini sebanyak tujuh syarikat yang telah berminat untuk memohon pinjaman menerusi skim berkenaan dengan nilai permohonan keseluruhan mencecah RM21 juta.

Pihaknya juga bekerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi memberi peluang kepada syarikat yang bermasalah termasuk yang telah disenarai hitam untuk membolehkan mereka membuat pinjaman.

"Sambutan terhadap skim ini adalah menggalakkan. Sekiranya permohonan mereka diluluskan mereka perlu membuat perjanjian pembiayaan dengan MIDF selain tempoh bayaran balik pinjaman diberikan selama lima tahun.

"Dari segi permohonan pinjaman, MIDF akan meneliti semula jumlah pinjaman sama ada layak atau pun tidak untuk mendapatkan permohonan pinjaman secara keseluruhan.

"Bagaimanapun, kita komited untuk menyokong usaha kerajaan dalam membantu syarikat sama ada besar atau kecil kerana kami percaya pada potensi kecemerlangan dan pertumbuhan setiap syarikat," katanya.

--BERNAMA