KUALA LUMPUR: Prestasi suku pertama tahun kewangan 2022 Daibochi Berhad yang menyaksikan syarikat itu merekodkan PATAMI sebanyak RM8.9 juta berada di bawah jangkaan pada 17% dan 19% daripada anggaran tahun penuh MIDF Research dan konsensus.

Firma penyelidikan itu berkata, situasi itu disebabkan kos operasi (opex) yang lebih tinggi daripada jangkaan.

"Kami mengekalkan anggaran perolehan untuk FY22 dan FY23 tetapi kami menyemak semula anggaran pendapatan kami ke bawah masing-masing kepada RM43.8 juta dan RM51.4 juta selepas mengambil kira kos operasi yang lebih tinggi.

"Kami juga memperkenalkan anggaran pendapatan FY24 kami pada RM55.7 juta," katanya dalam nota kajian di sini pada Rabu.

Daibochi Bhd mencatatkan penurunan dalam keuntungan bersih 1QFY22  sebanyak 23.37% kepada RM9.8 juta daripada RM12.79 juta tahun lalu disebabkan oleh harga bahan mentah yang lebih tinggi, kos pengangkutan dan perbelanjaan berkaitan COVID-19.

Hasil suku tahunannya, bagaimanapun meningkat 15.09% kepada RM180.32 juta daripada RM156.68 juta, didorong oleh jualan yang lebih tinggi dalam pasaran domestik dan eksportnya.

Pada asas suku tahunan (qoq), keuntungan bersih kumpulan meningkat sebanyak 10.27% daripada RM8.89 juta yang dilaporkan pada suku sebelumnya (4QFY21) manakala hasil meningkat sebanyak 34.94% berbanding RM133.73 juta yang dicatatkan suku sebelumnya.

MIDF Research bagaimana pun berkata, pihaknya yakin dengan prospek keseluruhan syarikat berikutan peningkatan permintaan dalam pembungkusan mampan yang dipacu oleh sektor makanan dan minuman (F&B) dan barangan pengguna bergerak pantas (FMCG).

Namun begitu, antara risiko utama bagi  Daibochi termasuklah aliran menaik berterusan dalam harga resin plastik dan kos pengangkutan, dan ketidakstabilan politik yang berpanjangan di Myanmar yang boleh menyebabkan gangguan kepada operasi kumpulan itu.

"Secara keseluruhannya, kami mengekalkan panggilan 'NEUTRAL' pada Daibochi dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM2.70 sesaham," katanya.


*Berita asal di DagangNews.com