BISNES
MIHAS 2025 disasar jana jualan RM4.5 bilion - MATRADE

Tengku Zafrul berkata MIHAS telah berjaya mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM4.1 bilion dalam tempoh dua hari pertama acara itu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025 dijangka mencapai sasaran jualan mencecah RM4.5 bilion, berdasarkan maklumat awal Program Penyumberan Antarabangsa (INSP), kata Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Ringkasan AI
- MIHAS 2025 dijangka mencapai jualan RM4.5 bilion, dengan RM4.1 bilion telah dicatat dalam dua hari pertama melalui Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) yang melibatkan lebih 4,000 mesyuarat perniagaan antara 600 peniaga Malaysia dan 300 pembeli antarabangsa.
- Malaysia terus memposisikan industri halal sebagai pemacu inovasi bertanggungjawab dan strategi ekonomi berpandangan jauh, dengan nilai semasa industri halal negara mencecah RM62 bilion serta peranan MIHAS dalam memperkukuh daya tahan dan pengaruh global.
- MIHAS 2025 yang berlangsung pada 17-20 September dengan penyertaan dari 80 negara dan dijangka menarik 45,000 pengunjung, akan diperluas ke Shanghai dan Eropah, menjadikan jenama MIHAS sebagai platform dagangan halal global sejak penubuhannya pada 2004.
"Menerusi usaha mengembangkan perdagangan halal, Malaysia tidak hanya meraih nilai daripada sektor global yang pesat berkembang, tetapi turut melindungi daripada sebarang ketidaktentuan dalam komoditi tradisional sambil mengukuhkan peranan kita sebagai penghubung antara dunia Muslim dan pasaran global," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tengku Zafrul juga menyifatkan industri halal Malaysia yang bernilai RM62 bilion serta disokong oleh acara seperti MIHAS, berperanan sebagai strategi ekonomi berpandangan jauh yang mengukuhkan lagi daya tahan, meningkatkan pengaruh (kehadiran di peringkat global) dan menjamin hala tuju baharu demi kesejahteraan rakyat negara ini.
Sementara itu, Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata prestasi INSP kali ini yang lebih kukuh, hanya membuktikan lagi permintaan global terhadap tawaran halal Malaysia.
"Bersandarkan MIHAS dan platform digital yang ada, kita membolehkan pengeksport Malaysia dihubungkan dengan pembeli global yang bernilai tinggi selain membuka peluang baharu," katanya.
Dalam pada itu, MATRADE berkata program INSP yang juga tonggak MIHAS 2025, menyaksikan lebih daripada 4,000 mesyuarat perniagaan melibatkan 600 peniaga Malaysia dan 300 pembeli antarabangsa, termasuk peruncit dan pasar raya besar terkemuka dengan gabungan hasil tahunan melebihi RM1.5 trilion.
Program yang turut dilengkapi dengan komponen secara maya dan berlangsung sehingga 5 Nov, 2025, juga telah mencatat angka jualan besar dan dijangka melebihi pencapaian rekod penanda aras baharu RM2.52 bilion pada tahun lepas.
Ini, katanya, turut memperkukuh hubungan dagang Malaysia merentasi ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk, Eropah, negara-negara Afrika dan Amerika.
MIHAS 2025 anjuran MATRADE, berlangsung pada 17-20 September dan bertemakan "Pinnacle of Halal Excellence" (Mercu Keunggulan Halal) dan mengetengahkan sebanyak 2,400 reruai dengan penyertaan pempamer dan pembeli dari 80 negara serta dijangka menarik kehadiran 45,000 pengunjung.
Seiring dengan penganjurannya yang juga edisi ke-21, MIHAS 2025 turut membuktikan kedudukan Malaysia sebagai pemimpin global dalam ekonomi halal.
Menurut MATRADE, bagi kemajuan masa depan, MIHAS dijangka memperluas jangkauan globalnya dengan MIHAS@Shanghai yang akan berlangsung pada 5-11 Nov, 2025 bersempena dengan Ekspo Import Antarabangsa China, kata MATRADE.
Selain itu, terdapat perancangan untuk membawa jenama MIHAS ke Eropah pada tahun depan.
Sejak dimulakan pada 2004, MIHAS berjaya menjana hampir RM30 bilion dalam jualan eksport selain menarik lebih setengah juta pengunjung perniagaan dari serata dunia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami