Skip to main content

Malaysia

Perpaduan perlu diterjemah melalui keadilan sosioekonomi, pembangunan saksama - Hajiji

Alhamdulillah, hari ini saya bersama YAB Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia menyaksikan pelancaran Projek Sabah Southern MADANI Link di Sipitang.  Ini adalah sebuah projek strategik yang akan memperkukuhkan sistem penghantaran elektrik negeri dan menjadi pemangkin kepada pembangunan Sabah pada masa hadapan.
Perpaduan sebenar tidak lagi boleh diukur pada budi bahasa atau toleransi semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan nyata, keadilan sosioekonomi dan kesaksamaan pembangunan bagi setiap wilayah, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor. - Foto Facebook Hajiji Noor

KOTA KINABALU: Perpaduan sebenar tidak lagi boleh diukur pada budi bahasa atau toleransi semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan nyata, keadilan sosioekonomi dan kesaksamaan pembangunan bagi setiap wilayah, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata perpaduan yang tulen menuntut komitmen berterusan, keikhlasan, saling menghormati serta jaminan bahawa setiap negeri dan wilayah menerima layanan serta peluang pembangunan yang adil.

“Saya ingin mengajak kita semua untuk menyelami serta mentafsir semula erti perpaduan sebagai persediaan mendepani masa depan yang lebih mencabar.

“Perpaduan sebenar tidak lagi boleh diukur sekadar pada budi bahasa yang indah atau batas toleransi yang pasif. Perpaduan yang tulen menuntut tindakan yang nyata, komitmen berterusan, keikhlasan, rasa saling menghormati dan paling utama ialah terjaminnya keadilan sosioekonomi serta kesaksamaan bagi setiap wilayah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Sukan Likas di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Hajiji berkata pemilihan Sabah sebagai tuan rumah sambutan itu merupakan satu penghormatan besar  serta pengiktirafan terhadap budaya kehidupan rakyat negeri ini yang sejak sekian lama menjadikan keharmonian dan kebersamaan sebagai cara hidup.

Beliau berkata keupayaan rakyat Sabah yang terdiri daripada pelbagai etnik, budaya, bahasa dan kepercayaan untuk hidup bersama dalam suasana rukun damai serta saling menghormati menjadi bukti bahawa perpaduan bukan sekadar slogan, sebaliknya amalan yang telah berakar umbi sejak sekian lama.

“Kerajaan Negeri Sabah sentiasa komited dalam memastikan aspek perpaduan dan keharmonian terus menjadi asas kepada pembangunan negeri.

“Kita juga turut mengangkat aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan konsep kesejahteraan, ihsan, hormat-menghormati dan kemampanan dalam pembangunan negara sebagai asas keutuhan perpaduan dan kemakmuran bersama,” katanya.

Hajiji turut mengajak rakyat Sabah terus memelihara keharmonian, menghargai kepelbagaian kaum dan agama serta memperkukuh semangat muhibah yang menjadi identiti unik negeri itu sambil mengelak sebarang anasir yang boleh menggugat perpaduan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement