KUALA LUMPUR: Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2023) edisi ke-19, yang merupakan pameran halal terbesar di dunia, berjaya mencatat jualan RM3.11 bilion, melebihi sasaran awal RM2.5 bilion sebanyak 24 peratus, sekali gus menekankan kepentingannya sebagai platform perdagangan global terulung bagi industri halal.

MIHAS, yang berlangsung selama lima hari bermula 11 Sept 2023, dihoskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Dalam satu kenyataan, MATRADE berkata jualan itu disumbangkan oleh perjanjian perniagaan daripada dua program utama MIHAS, iaitu Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) yang dianjurkan pada 11 Sept 2023 untuk pengeksport Malaysia, dan pameran perdagangan utama yang melibatkan pempamer dari 40 negara.

"Pencapaian jualan RM3.11 bilion yang membanggakan, melepasi sasaran kami sebanyak 24 peratus, membuktikan MIHAS masih menjadi platform halal global yang terulung," kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata Pelan Induk Industri Halal Malaysia 2030 menyasarkan sumbangan industri sebanyak RM266 bilion, atau 11 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2030.

"Dalam mencapai matlamat ini, kami akan terus membina momentum yang dijana oleh MIHAS 2023, terutamanya dalam memudahkan akses pasaran untuk pemain industri halal kami kepada rantaian bekalan utama di seluruh dunia.

"Paling penting, selaras dengan agenda menjamin keselamatan ekonomi dan keterangkuman Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 kita, platform seperti MIHAS juga menyumbang dengan ketara kepada objektif kerajaan untuk mengantarabangsakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab halal di Asia," katanya.

Tumpuan MIHAS 2023 terhadap elemen kemampanan dan pendigitalan telah meningkatkan lagi nilainya kepada komuniti halal global, dengan memudahkan dan mempercepatkan proses mengarusperdanakan ekosistem halal dalam rantaian bekalan global.

Anggaran awal menunjukkan program perdana INSP-MATRADE mencapai jualan bernilai RM1.22 bilion, manakala pempamer memperoleh jumlah jualan RM1.89 bilion. Angka jualan awal ini berpotensi meningkat apabila pemadanan perniagaan INSP maya berlangsung sehingga 30 Nov 2023.

Sementara itu, Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menegaskan bahawa MIHAS 2023 turut menekankan kerjasama dengan pelbagai pihak.

"Sebagai contoh, lebih daripada 30 MoU telah bertukar antara organisasi Malaysia dan asing ketika MIHAS berlangsung. MATRADE juga melaksanakan banyak usaha untuk menarik penyertaan organisasi kerajaan lain, dan sebanyak 34 agensi Persekutuan dan negeri menyertai MIHAS tahun ini," katanya.

MIHAS 2024

Reezal Merican berkata lebih 800 peserta pameran telah menyatakan minat mereka untuk menyertai MIHAS 2024 yang dijadualkan pada 17 - 20 September 2024, membuktikan peranan utamanya dalam memajukan dan meningkatkan industri halal global.

MIHAS 2023 menarik seramai 38,566 pelawat dari lebih 100 negara, melepasi sasaran 35,000 pelawat. Antaranya, 29,090 hadir sendiri, manakala 9,476 menyertainya secara maya.

Acara INSP yang berlangsung di MATRADE, menghubungkan 469 syarikat Malaysia dengan 231 pembeli antarabangsa dari 44 negara, termasuk 11 pembeli premium. Inisiatif ini memudahkan sebanyak 2,788 mesyuarat perniagaan.

-- BERNAMA