KUALA LUMPUR: MISC Bhd meraih keuntungan bersih sebanyak RM1.82 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Dis 2022, lebih rendah berbanding RM1.83 bilion yang dicatatkan semasa tahun kewangan 2021.

Bagaimanapun, perolehan melonjak kepada RM13.87 bilion daripada RM10.67 bilion, selepas semua segmen menyampaikan sumbangan hasil yang lebih tinggi.

Hasil daripada bahagian petroleum dan produk perkapalan menokok kepada RM4.67 bilion, 45.8 peratus lebih baik disebabkan peningkatan dalam muatan dan hari perolehan, manakala pendapatan perniagaan luar pesisir meningkat 42.2 peratus kepada RM4.32 bilion berikutan pengiktirafan hasil yang lebih tinggi daripada projek penukaran unit terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) susulan kemajuan projek yang lebih baik pada tahun tersebut.

Sementara itu, pendapatan segmen aset serta penyelesaian gas berada pada RM3.11 bilion atau naik lapan peratus berikutan hari pendapatan yang lebih tinggi berikutan aktiviti dok kering yang lebih rendah dan hasil kejuruteraan berat marin bertambah sebanyak 12.6 peratus kepada RM1.65 bilion di tengah-tengah kemajuan yang membabitkan projek kejuruteraan berat yang berterusan termasuk aktiviti dok kering yang lebih tinggi dalam sub-segmen marin.

Bagi suku keempat, keuntungan bersih mengembang kepada RM645 juta daripada RM461.7 juta, manakala perolehan naik kepada RM4.17 bilion berbanding RM3.09 bilion sebelum ini.

"MISC telah menyampaikan prestasi kewangan yang positif untuk suku kali ini, didorong oleh daya tahan perniagaan kami di seluruh kumpulan.

"Kami, sebagai satu pasukan akan kekal fokus dan komited untuk meneroka prospek baharu, perkongsian sinergi serta penyelesaian inovatif," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kapten Rajalingam Subramaniam dalam satu kenyataan.

Dalam jangka masa terdekat, kumpulan itu meramalkan prospek akan terus disokong secara positif oleh peningkatan dalam permintaan Eropah untuk gas asli cecair (LNG) berikutan ketegangan Rusia-Eropah yang berterusan, pemulihan permintaan China, ketersediaan kapal yang agak ketat dan infrastruktur LNG yang semakin meningkat sehingga mampu mencapai keputusan pelaburan, yang akan terus menyokong pertumbuhan.

Bagaimanapun, kenaikan harga binaan baharu dan ruang pembinaan kapal yang terhad akan menjadi cabaran dalam memenuhi keperluan projek-projek LNG yang baharu.

"Walau apa pun, pendapatan operasi bagi segmen aset gas dan penyelesaian dijangka kekal kukuh, ditaja jamin oleh portfolio piagam jangka panjangnya.

"Kadar pasaran untuk penghantaran produk serta petroleum kekal mantap dengan kadar purata terus meningkat pada suku akhir tahun kewangan 2022," katanya.

MISC menambah walaupun wujud beberapa rencatan baru-baru ini, prospek kelihatan positif dengan purata pendapatan kapal tangki masih agak tinggi, disokong oleh perubahan berterusan dalam corak perdagangan berikutan sekatan Kesatuan Eropah ke atas Rusia termasuk peningkatan import minyak mentah ke Asia disebabkan permintaan yang lebih kukuh dan pelonggaran sekatan COVID-19.

"Sekatan pengeluaran oleh OPEC+ baru-baru ini dijangka mengekalkan bekalan minyak yang ketat untuk sepanjang 2023," katanya, sambil menambah prospek bagi sektor minyak dan gas huluan masih cerah memandangkan lonjakan dalam harga minyak, perbelanjaan modal, permintaan minyak global termasuk pembukaan semula pasaran China walaupun terdapat kebimbangan mengenai ekonomi dunia dan potensi kemelesetan global.

Ia juga menjangkakan permintaan FPSO akan terus berkembang baik, dengan peningkatan dalam projek-projek yang dirancang dalam beberapa tahun akan datang mencurah masuk dari rantau Amerika Selatan dengan Brazil menerajui sebahagian besar pasaran pertumbuhan FPSO, diikuti Afrika Barat.

Segmen perniagaan luar pesisir akan terus mengejar peluang baharu di pasaran secara selektif.

Sementara itu, lembaga pengarah telah meluluskan dividen dikecualikan cukai keempat sebanyak 12.0 sen sesaham bagi tahun kewangan 2022 berjumlah RM535.6 juta. Cadangan dividen itu akan dibayar pada 15 Mac 2023 kepada pemegang saham yang berdaftar pada penutupan perniagaan 1 Mac ini. - BERNAMA