BISNES
MITI akan adakan sidang media esok mengenai tarif terkini AS - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul ketika mengulas mengenai tarif AS terhadap Malaysia bermula 1 Ogos 2025 ketika transit dalam perjalanan pulang daripada Brazil setelah menghadiri Sidang Kemuncak BRICS. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan mengadakan sidang media berkenaan kadar tarif balas terkini sebanyak 25 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas eksport Malaysia, kata Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Ringkasan AI
- Amerika Syarikat mengenakan tarif balas sebanyak 25% ke atas semua produk eksport Malaysia, berkuat kuasa 1 Ogos 2025, meningkat 1% berbanding pengumuman terdahulu.
- MITI akan mengadakan sidang media khas pada Rabu jam 6 petang bagi menjelaskan kedudukan semasa dan langkah susulan kerajaan Malaysia.
- Malaysia komited untuk terus berunding secara konstruktif dengan AS, demi mencapai perjanjian perdagangan yang adil dan saling menguntungkan, sambil melindungi kepentingan perniagaan dan pengguna tempatan.
AS mengenakan tarif lebih tinggi sebanyak 25 peratus ke atas sebarang dan semua produk Malaysia yang dieksport ke negara itu, berkuat kuasa 1 Ogos tahun ini, berasingan daripada semua tarif sektor.
Angka itu merupakan satu peratus lebih tinggi berbanding dengan tarif yang telah diumumkan pada April.
Mengulas mengenai laporan itu, MITI menegaskan semula bahawa Malaysia komited untuk meneruskan kerjasama dengan AS ke arah perjanjian perdagangan yang seimbang, membawa manfaat bersama dan menyeluruh.
Dalam kenyataan hari ini, MITI turut menekankan Malaysia menghargai hubungan ekonomi dan perdagangan yang telah lama terjalin dengan AS di samping mengiktiraf peranan penting perdagangan terbuka dan adil dalam menyokong pertumbuhan ekonomi serta penciptaan pekerjaan di kedua-dua negara.
AS merupakan rakan dagang kedua terbesar dan destinasi eksport terbesar Malaysia, dengan jumlah dagangan pada 2024 melonjak hampir 30 peratus kepada RM324.9 bilion (AS$71.4 bilion).
Eksport ke AS mencecah RM198.7 bilion (US$43.7 bilion), manakala import meningkat kepada RM126.3 bilion (AS$27.7 bilion).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami