KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan merangka satu pelan strategik bagi meningkatkan pelaburan hijau sekali gus menjadikan Malaysia sebagai destinasi dan hab pelaburan hijau utama serantau.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pelan berkenaan adalah bertujuan untuk mencapai sasaran karbon sifar bersih seawal 2050, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR).

Terdahulu, Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bersetuju merangka pelan khusus untuk meningkatkan pelaburan hijau di Malaysia serta menubuhkan pasukan petugas khas bagi membangunkan industri semikonduktor secara strategik.

Sejajar dengan penekanan terhadap pelaburan hijau, mesyuarat itu juga memutuskan untuk menjenamakan projek Kerajaan Persekutuan yang diumumkan dalam Belanjawan 2024, iaitu Kerian Integrated Industrial Park sebagai Kerian Integrated Green Industrial Park.

"Ia diharap akan menjadi pencetus peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui secara sepenuhnya oleh industri yang bakal dibangunkan di taman perindustrian tersebut," kata Tengku Zafrul dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata memandangkan kepentingan industri semikonduktor yang menyumbang 45.4 peratus (atau RM593.5 bilion) kepada jumlah eksport hasil industri pembuatan Malaysia iaitu bersamaan 7.1 peratus Keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara, mesyuarat itu juga memutuskan untuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas Strategik Semikonduktor Negara (NSSTF).

"Ia adalah satu platform khusus untuk membangunkan ekosistem semikonduktor dan menarik pelaburan strategik dalam sektor tersebut," katanya.

NSSTF yang akan dipengerusikan oleh menteri MITI itu dijangka dapat memperkukuhkan lagi sektor tersebut yang pada masa ini menyumbang 13 peratus kepada aktiviti pemasangan, ujian dan pembungkusan cip global dan 10 peratus kepada pasaran semikonduktor global.

"Ini penting bagi memastikan industri semikonduktor negara lebih berdaya saing dan kalis masa hadapan seiring dengan perkembangan teknologi, perundangan, trend semasa dan polisi terkini diperingkat global," kata Tengku Zafrul.

Beliau berkata kesemua usaha ini bakal memastikan pelaksanaan pelaburan ke dalam negara akan mencapai objektif Ekonomi MADANI, termasuk meletakkan Malaysia pada kedudukan 30 teratas dari segi ekonomi terbesar dunia, dan 12 teratas dari segi daya saing global dalam tempoh 10 tahun.

-- BERNAMA