KUALA LUMPUR: RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) menjangkakan pasaran bon ringgit berupaya mengekalkan momentumnya pada tahun ini, didorong oleh penurunan kadar faedah di peringkat global.

Agensi penarafan itu berkata pengumuman serta tempoh pelaksanaan kadar faedah utama oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) bagaimanapun akan terus menjadi pemacu dalam menggerakkan aliran dana.

"Berdasarkan kenyataan beberapa pegawai Fed yang cenderung menaikkan kadar faedah itu baru-baru ini serta pengumuman data-data AS yang kukuh, ketidaktentuan di pasaran kewangan dijangka berlaku dalam masa terdekat ini.

"Namun, kami menjangkakan pasaran bon ringgit akan terus meraih aliran masuk dana bersih pada tahun ini berikutan penurunan kadar faedah di peringkat global," katanya dalam kenyataan semalam.

Dari segi aliran dana, penyertaan asing dalam pasaran bon terbukti meningkat ketara pada tahun lepas dengan aliran masuk bersih dana secara keseluruhannya berjumlah RM23.6 bilion - berbeza daripada aliran keluar sebanyak RM9.8 bilion pada 2022.

RAM Ratings menyifatkan keadaan itu didorong oleh perkembangan membabitkan sentimen pelabur yang pulih dan yakin bahawa peningkatan kadar faedah AS telah memuncak dan disusuli dengan penurunan kadar faedah dalam tempoh-tempoh memasuki 2024.

Dalam pada itu, agensi penarafan berkenaan juga menjangkakan pembiayaan bon/sukuk korporat kekal sihat dengan perancangan bernilai RM110 bilion-RM120 bilion pada tahun ini.

Menurutnya, keadaan itu didorong oleh inisiatif pembiayaan semula swasta, keperluan pembiayaan infrastruktur yang berterusan serta pelan peningkatan modal institusi kewangan.

"Penerbitan bon korporat mencecah RM118.3 bilion pada 2023 dan seiring dengan purata 2017-2021 sebanyak RM116.4 bilion.

"Sektor utama yang menerajui usaha terbitan berkenaan adalah kewangan (RM44.4 bilion) selain tenaga dan utiliti (RM21.1 bilion)," katanya.

Mengulas prospek Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB) dan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), RAM Ratings menjangkakan terbitan MGS dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) menyederhana kepada sekitar RM170.0 bilion-RM180.0 bilion, disokong oleh keperluan pembiayaan defisit lebih kecil oleh kerajaan.

Pada 2023, terbitan kasar MGS dan GII meningkat kepada RM190.9 bilion berbanding RM171.5 bilion pada 2022 yang merupakan angka terbesar pernah dicatatkan.

-- BERNAMA