KUALA LUMPUR: Bank Negara (BNM) mengingatkan semua peminjam individu, perusahaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk memahami bahawa moratorium akan meningkatkan kos pinjaman secara keseluruhan.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, jurucakap BNM menjelaskan, faedah keuntungan bagaimanapun hanya akan terakru (diambil kira) ke atas bayaran balik pinjaman yang tertangguh.

"Bank-bank dikehendaki memberikan penerangan kepada peminjam mengenai kesan pengambilan bantuan bayaran balik pinjaman terhadap jumlah bayaran ansuran dan tempoh pembiayaan.

"Apabila peminjam memohon untuk mendapatkan bayaran ansuran yang lebih rendah (dan bukan mengekalkan bayaran ansuran yang asal) selepas moratorium, hal ini boleh menyebabkan tempoh pinjaman mereka menjadi lebih panjang.

"Bank tidak akan mengenakan caj faedah ke atas faedah atau keuntungan atas keuntungan iaitu faedah/keuntungan terkompau, atau apa-apa faedah/keuntungan penalti sepanjang tempoh bantuan," katanya.

BNM turut memberi jaminan, Rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) peminjam tidak akan terjejas akibat penerimaan apa-apa bentuk bantuan bayaran balik pinjaman pada tahun 2021.

"Industri perbankan telah memberikan komitmen dan keyakinan untuk membantu peminjam yang menghadapi kesukaran kewangan disebabkan oleh sekatan pergerakan.

"Dalam hal ini, BNM akan memantau dengan rapi pelaksanaan program bantuan bayaran balik pinjaman oleh industri perbankan," katanya lagi.

Katanya, bagi peminjam yang menghadapi sebarang kesukaran dengan bank, atau mendapati bayaran ansuran meningkat secara tidak munasabah, mereka boleh menghubungi BNMTELELINK melalui bnm.my/RAsurvey untuk mengemukakan aduan.

Katanya, peminjam juga boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang program bantuan bayaran balik pinjaman dengan melayari bnm.gov.my/RA dan platform media sosial BNM.

Pada 28 Jun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), yang antara lain memperluaskan pemberian moratorium kepada semua golongan termasuk B40, M40 dan T20, di samping perusahaan mikro dan PKS yang terjejas dengan pelaksanaan PKP.

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, jurucakap BNM turut memaklumkan bahawa peminjam boleh memohon moratorium selama enam bulan mulai 7 Julai ini.

"Peminjam tidak perlu bimbang kerana permohonan moratorium atau lain-lain pakej bayaran balik pembiayaan adalah mudah dan tanpa dokumen sokongan serta kelulusan diberi secara automatik.

"Selain moratorium, bank-bank juga akan menawarkan pengurangan bayaran ansuran dan pakej-pakej lain termasuk penjadualan dan penstrukturan semula pembiayaan mengikut kedudukan kewangan peminjam.

"Peminjam boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui borang web atau e-mel automatik yang akan tersedia menerusi laman sesawang bank-bank untuk peminjam mengemukakan butiran peribadi dan pembiayaan mereka.

"Peminjam juga boleh menghubungi bank mereka melalui telefon dan panduan akan diberikan oleh pegawai khidmat pelanggan.

"Jika peminjam tidak dapat menggunakan saluran digital ini, mereka juga boleh mengunjungi cawangan bank untuk menghantar permohonan moratorium," katanya. 

BNM turut menjelaskan, moratorium ditawarkan untuk pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Julai 2021 dengan semasa permohonan dibuat, peminjam tidak mempunyai ansuran tertunggak melebihi 90 hari atau berhadapan dengan prosiding bankrap/penggulungan (bankruptcy/winding up).

"Peminjam yang sudahpun berada dalam program bantuan bayaran balik pinjaman dan membayar balik pembiayaan mereka mengikut terma program tersebut juga boleh memohon moratorium ini," katanya.

Katanya, peminjam individu dan PKS yang mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman melebihi 90 hari dinasihatkan menghubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapatkan bantuan bayaran balik pinjaman yang sesuai menerusi laman web akpk.org.my/smehelpdesk.

Dalam pada itu, peminjam turut dinasihatkan mendapatkan maklumat tentang sebarang perubahan waktu operasi atau aturan perkhidmatan kaunter daripada bank masing-masing susulan sekatan pergerakan yang dikuatkuasakan ketika ini.