MOTAC batal lesen syarikat Emraz Travel & Tours

Bernama
Mac 8, 2024 06:02 MYT
Menurut MOTAC, Emraz Travel & Tours didapati melanggar syarat lesen dan peruntukan Akta 482 serta menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara.
PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah membatalkan lesen sebuah syarikat pengendali pakej umrah Emraz Travel & Tours Sdn Bhd kuat kuasa 11 Mac ini.
MOTAC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pembatalan lesen itu selaras dengan perenggan 8(1)(b) dan (d) Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).
Menurut MOTAC, ini kerana syarikat tersebut didapati telah melanggar syarat lesen dan peruntukan Akta 482 serta menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara.
Bermula sekitar November tahun lepas, pihak polis telah menerima ratusan laporan polis berhubung dakwaan kes penipuan pakej umrah membabitkan syarikat itu.
Setakat ini, dua pengarah syarikat berkenaan yang merupakan sepasang suami isteri telah dihadapkan ke mahkamah berkaitan kes itu.
-- BERNAMA
#Emraz Travel & Tours #batal lesen #umrah #MOTAC