KUALA LUMPUR: Industri perhotelan mampu bangkit semula tahun ini setelah hampir 2 tahun terjejas akibat pandemik COVID-19.

Walaupun, ia tidak mungkin kembali ke tahap sebelum pandemik dengan begitu pantas, tetapi sektor tersebut kini bergerak dalam landasan yang betul, menurut Pengurus Besar Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen KLIA, Wan Enderi Mohd Saad baru-baru ini.

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata, keseluruhan industri kini mampu bernafas semula jika dibandingkan dalam tempoh 5 hingga 6 bulan lalu ketika kadar jangkitan masih lagi tinggi.

Beliau berkata, dalam tempoh pandemik COVID-19, pihak hotel mengambil pendekatan mempelbagaikan perniagaan termasuk berfungsi sebagai pusat kuarantin bagi memastikan ia terus berjalan walaupun pada skala yang kecil.

"Apabila dibuka semula November lalu, Movenpick KLIA merekodkan pertumbuhan kadar penginapan yang lebih baik susulan pembukaan ekonomi secara berperingkat mulai Oktober.

"Kami melihat tempoh 2 bulan terakhir 2021 sangat positif dan gembira apabila Januari 2022 juga tanpa diduga mencatatkan prestasi yang cemerlang.

"Oleh itu, kami berharap trend pemulihan ini akan berterusan walaupun kami mengambil langkah berhati-hati terhadap persekitaran pandemik ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan acara previu bufet iftar Ramadan di hotel tersebut baru-baru ini.

Movenpick KLIA dimiliki sepenuhnya Lembaga Tabung Haji dengan bertaraf 5 bintang, mula dibuka pada 2018 dan diuruskan rangkaian perhotelan global terbesar, Accor berpangkalan di Perancis.

Terletak berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kompleks hotel di kawasan seluas 7 hektar itu mengandungi 333 bilik serta berstatus patuh syariah.

Menurut Wan Enderi, Movenpick KLIA akan menyambung semula perancangan yang sudah diatur sejak 2 tahun lalu setelah ia tertangguh akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

“Antaranya, kami akan meneruskan projek taman tema air di aras bumbung pada tahun ini, selain menambah banyak kemudahan baharu untuk menarik ramai pelanggan khususnya berkeluarga atau berkumpulan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihak hotel juga kini bersedia menerima ribuan bakal jemaah haji sebelum mereka ke Tanah Suci.

Beliau juga yakin kemungkinan tahun ini tiada lagi penangguhan penghantaran kumpulan jemaah haji Malaysia berdasarkan pelbagai langkah protokol kesihatan ketat oleh kerajaan Arab Saudi bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

"Sehubungan itu, kami sudah merangka pelbagai pelan tindakan sekiranya Malaysia dapat menghantar semula jemaah haji untuk musim ini," jelasnya. - DagangNews.com