BISNES
MPBC himpun lebih 250 ahli perkukuh hubungan Malaysia-Pakistan

Usman berkata inisiatif utama bagi mendorong agenda ini ialah penubuhan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Bersama Malaysia-Pakistan yang diiktiraf secara rasmi oleh kedua-dua kerajaan. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Lebih 250 ahli Majlis Perniagaan Malaysia-Pakistan (MPBC) bersama agensi-agensi kerajaan Malaysia berhimpun bagi merancakkan usaha memperkukuh perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.
Pemangku Pengerusi MPBC Usman Ahmed berkata inisiatif utama bagi mendorong agenda ini ialah penubuhan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Bersama Malaysia-Pakistan yang diiktiraf secara rasmi oleh kedua-dua kerajaan.
"Matlamat kami sejak awal adalah untuk menubuhkan sebuah dewan perniagaan bersama yang diiktiraf secara sah oleh kedua-dua negara dan diberi kuasa untuk beroperasi di Malaysia dan Pakistan.
"Jawatan pengerusi akan bergilir antara wakil dari Pakistan dan Malaysia. Inilah satu-satunya cara untuk benar-benar menggalakkan perdagangan dan pelaburan secara mampan antara kedua-dua negara," katanya kepada Bernama semasa Majlis Makan Malam MPBC di sini pada Selasa.Antara agensi kerajaan yang hadir ialah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Ditubuhkan pada 2013, MPBC berperanan mempromosikan perdagangan dua hala, pelancongan dan pelaburan antara Malaysia dan Pakistan.
Usman, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Gamalux Oils Sdn Bhd berkata MPBC kini mengambil langkah proaktif untuk menyesuaikan semula peranannya sebagai pemudah cara utama perdagangan antara kedua-dua negara.
"Perbincangan dan mesyuarat terbaharu kami menekankan keperluan mendesak untuk menambah baik tadbir urus, meningkatkan keterlihatan, memperkukuh kerjasama perdagangan serta mewujudkan amalan institusi yang mampan," katanya.
Menjelang 2025 dan seterusnya, majlis itu menyasarkan pengukuhan hubungan ekonomi Malaysia-Pakistan menerusi fasilitasi perdagangan yang lebih tersusun, libat urus bersama diaspora, advokasi dasar dan reformasi institusi secara strategik menjelang 2030.
Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Syed Ahsan Raza Shah dalam ucaptamanya menekankan hubungan erat antara kedua-dua negara dan menyeru kerjasama lebih mendalam dalam bidang perdagangan, pelaburan dan inovasi.
Beliau turut memuji peranan MPBC dalam memudah cara misi perdagangan, menyokong delegasi perniagaan serta menggalakkan penglibatan syarikat Malaysia dalam sektor eksport dan pameran perdagangan Pakistan.
"Pakistan menghasilkan pelbagai barangan berkualiti tinggi seperti beras, produk makanan dan tekstil yang berdaya saing di peringkat global dan sesuai untuk pasaran Malaysia.
"Kami juga berbangga dengan kejayaan operasi syarikat Malaysia seperti FGV Holdings Bhd di Pakistan. Kerjasama seperti ini menunjukkan potensi hubungan jangka panjang yang saling menguntungkan," katanya.
Malaysia dan Pakistan menjalinkan hubungan diplomatik sejak 1957.
Perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencecah AS$1.5 bilion tahun lepas, dengan eksport utama Malaysia ke Pakistan terdiri daripada minyak sawit, bahan kimia serta produk elektrik dan elektronik. Sementara itu, import utama dari Pakistan termasuk beras, petroleum bertapis dan bawang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami