KUCHING: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah melabur hampir RM50 juta untuk pembangunan dua stesen penyelidikan yang terletak di Sessang di Bahagian Betong dan Belaga di Bahagian Kapit di Sarawak.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Willie Mongin berkata pelaksanaan projek penyelidikan dan pembangunan minyak sawit ini melibatkan beberapa siri Rancangan Malaysia bermula Rancangan Malaysia Ke-7 (RMK7) hingga RMK11.

"Daripada jumlah itu, sebanyak RM14.09 juta adalah untuk pembangunan dua stesen penyelidikan tersebut yang memfokuskan kepada kajian agronomi penanaman sawit termasuk di tanah gambut, geran penyelidikan mengenai pelepasan gas rumah hijau, projek integrasi tanaman dan ternakan bersama tanaman sawit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi dialog bersama penggiat industri sawit dan pemegang lesen MPOB Sarawak di Auditorium Majlis Bandaraya Kuching Selatan di sini semalam.

Mengulas lanjut, Willie berkata sebanyak RM35 juta lagi dibelanjakan bagi projek pembangunan dan penyelidikan yang merangkumi kajian biodiversiti mikrob, komposisi spesis serangga, impak sosio-ekonomi terhadap komuniti tempatan di Belaga dan strategi hiliran berkaitan industri sawit di Sarawak.

"Kerajaan membelanjakan hasil kutipan ses oleh MPOB untuk menampung pembiayaan sebahagian daripada projek pembangunan dan penyelidikan berkaitan industri sawit di seluruh negara," katanya.

Berkuatkuasa 1 Mac lepas, MPOB telah melaksanakan kadar baharu kutipan ses melibatkan tambahan sebanyak RM2 daripada RM14 kepada RM16 bagi setiap tan minyak sawit mentah dan minyak isirung sawit mentah yang dikeluarkan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai hala tuju karier politiknya bersama Bersatu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum yang akan datang, Willie yang juga Anggota Parlimen Puncak Borneo berkata Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Bersatu mempunyai persefahaman yang baik ketika ini dan solidariti di antara kerajaan negeri dan Persekutuan perlu diperkukuhkan.

"Saya serahkan kepada pucuk pimpinan kedua-dua parti. Saya percaya dengan kerja keras yang telah saya tunjukkan, rakyat dapat menilai. Bagi saya kita perlu bekerja terlebih dahulu, kemudian kita serahkan kepada rakyat untuk memilih," katanya.

-- BERNAMA