JOHOR BAHRU: Bangunan tambahan baharu Jabatan Kimia Malaysia Johor (KIMIA Johor) yang siap sepenuhnya awal tahun ini dengan peruntukan RM22.8 juta akan memperkukuh analisis forensik negara.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang berkata bangunan tiga tingkat yang dibina menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 itu menempatkan Makmal Kualiti Makanan serta Makmal Kualiti Air dan Alam Sekitar yang dilengkapi kemudahan analitikal moden.
Beliau berkata fasiliti itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan forensik berasaskan sains dan bukti selaras aspirasi Malaysia MADANI serta Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN).
“Kemudahan yang lebih baik ini boleh membantu dalam pembangunan ekonomi, khususnya Johor Bahru memandangkan bandar raya ini antara yang pesat membangun,” katanya pada sidang media selepas merasmikan bangunan itu di KIMIA Johor, di sini hari ini.
Chang berkata KIMIA Johor memainkan peranan penting dalam pelbagai bidang analisis termasuk forensik jenayah, pemantauan alam sekitar serta kesiapsiagaan menghadapi insiden kimia, biologi, radiologi, nuklear dan bahan letupan (CBRNe).
Antara peranan utamanya ialah menyokong analisis dalam siasatan jenayah berprofil tinggi, dadah, pencemaran alam sekitar dan penggunaan bahan berbahaya.
Sementara itu, Chang berkata Malaysia perlu mempergiat usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan transisi tenaga bagi mendepani krisis bekalan global.
Beliau berkata krisis itu perlu menjadi pengajaran kepada semua negara dalam menekankan aspek kedaulatan teknologi dengan mengambil contoh pandemik COVID-19 yang menyaksikan beberapa negara berupaya mencipta vaksin sendiri.
“Seperti COVID-19 sebelum ini, kita terpaksa bergantung kepada negara yang ada keupayaan untuk membuat vaksin pada harga dan masa yang mereka tetapkan bila akan diberi kepada kita,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata Malaysia tidak boleh sepenuhnya bergantung kepada teknologi daripada negara luar dan perlu terus bergerak ke hadapan seiring kemajuan teknologi.
Chang bagaimanapun berkata, kedudukan Malaysia sebagai negara yang mempunyai minyak dan gas dengan 80 peratus penjanaan tenaga elektrik daripada bekalan gas asli domestik, membantu menyokong negara menghadapi krisis itu.
“Kita ada bekalan yang mencukupi buat masa sekarang, jadi kita tidak perlu begitu bimbang. Namun, (dalam masa sama) kita perlu mempergiat aktiviti R&D, terutamanya transisi tenaga,” katanya.
-- BERNAMA