KUALA LUMPUR: Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA) menyemak naik kadar pertumbuhan tahunan industri runcit negara bagi 2022 kepada 13.1 peratus daripada 6.3 peratus sebelum ini berikutan unjuran prestasi lebih kukuh dalam suku kedua tahun ini.

Timbalan Presidennya Ken Phua Cheng berkata kadar pertumbuhan runcit bagi suku kedua tersebut dijangka meningkat kepada 25.7 peratus susulan jangkaan peningkatan perniagaan berkaitan.

"Unjuran itu merangkumi gedung, pasar raya, pasar raya mini, kedai fesyen dan aksesori, farmasi, penjagaan diri, produk kanak-kanak dan bayi, perabot serta premis runcit yang khusus.

"Peningkatan itu turut disokong oleh galakan daripada Kementerian Pelancongan yang menyasarkan kehadiran 2 juta pelancong asing menjelang akhir tahun ini. Secara keseluruhannya, keadaan kelihatan agak baik untuk kami," katanya pada sidang media mengenai acara Pameran Runcit dan Francais Antarabangsa Malaysia 2022 (MIRF) Kali Kelima di sini, pada Selasa.

Mengikut Laporan Industri Runcit Malaysia, kedai serbaneka dan pengendali pasar raya dijangka mengekalkan kadar pemulihan dengan mencatat pertumbuhan sebanyak 41.8 peratus bagi suku kedua 2022 namun pengendali gedung beli-belah mengunjurkan perniagaan mereka menyederhana pada 14.1 peratus bagi suku kedua tahun ini.

Menurutnya, peruncit fesyen dan aksesori menjangkakan perniagaan mereka terus maju dengan kadar pertumbuhan 58.9 peratus pada suku kedua 2022 berbanding tempoh sama setahun lepas -- unjuran tertinggi dalam subsektor runcit bagi suku terbabit.

Laporan itu menyatakan, peruncit produk kanak-kanak dan bayi juga optimis terhadap pemulihan lebih kukuh pada 41.2 peratus bagi suku kedua 2022 manakala pengendali pasar raya, kedai serbaneka dan koperasi menjangkakan kadar pertumbuhan pada 6.8 peratus.

Bagaimanapun, pengendali pasar raya dan pasar raya besar menjangkakan kekal dalam zon negatif dengan penurunan pertumbuhan 3.5 peratus bagi suku kedua 2022 iaitu unjuran terendah dalam kalangan subsektor runcit bagi suku ini.

Sementara itu, ahli majlis MRCA dan Pengerusi Penganjur MIRF 2022 Christine Tan berkata acara yang dijadualkan berlangsung pada 14-16 Julai di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, dijangka menjana pendapatan hampir RM90 juta bagi para pempamer.

MIRF 2022 yang dijangka menarik kehadiran 15,000 pengunjung, akan mengetengahkan lebih 400 gerai pameran dari 15 negara peserta termasuk Singapura, Taiwan, Korea, Jepun dan Sri Lanka.

-- BERNAMA