BAITULMUQADDIS: Tentera laut Israel menahan kira-kira 100 aktivis antarabangsa selepas menyerbu dan merampas kapal daripada flotila Global Sumud di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus.
Operasi itu dilakukan pada siang hari selepas empat kapal perang Israel mengepung armada berkenaan dan mengarahkan semua anak kapal mematikan enjin.
Pihak pengurusan flotila memaklumkan melalui media sosial bahawa pasukan komando Israel menaiki bot pertama ketika konvoi bantuan itu dalam pelayaran menuju ke Gaza.
“Kapal tentera ketika ini menyekat armada kami dan pasukan Israel sedang menaiki bot pertama kami pada waktu siang,” menurut kenyataan flotila.
Media Israel, Channel 12, melaporkan kesemua aktivis yang ditahan akan dipindahkan ke pelabuhan Ashdod untuk proses dokumentasi dan pengusiran.
Pihak berkuasa Tel Aviv turut memaklumkan operasi mengambil alih keseluruhan 54 kapal dalam flotila itu dijangka berlarutan sehingga esok.
Seorang aktivis menerusi panggilan satelit berkata baki kapal tidak akan menghentikan pelayaran ke Semenanjung Gaza walaupun operasi ketenteraan sedang berlangsung.
Konvoi kemanusiaan itu yang membawa ratusan sukarelawan sebelum ini berlepas dari Marmaris, Turkiye pada Khamis lalu untuk menembusi sekatan Israel sejak 2007.
Insiden di perairan antarabangsa ini berlaku ketika ketegangan geopolitik di Asia Barat kekal tinggi susulan konflik maritim serta amaran pimpinan Iran di Selat Hormuz dan Laut Oman.